Jumaat, 28 November 2008

MP Kuala Terengganu meninggal dunia

Kuala Lumpur, 28 November - Ahli Parlimen Kuala Terengganu Datuk Razali Ismail meninggal dunia secara mengejut di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands dekat sini kira-kira 6.30 petang.

Beliau juga meruapakan Timbalan Menteri Pelajaran yang menang majoriti tipis mengalahkan Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu di Parlimen tersebut.

Kongres PKR bermula dengan 'harapan baru'

oleh Muhamad Hussain



Shah Alam, 28 November - Lebih 2,000 pewakilan dari seluruh negara tiba untuk 'berkampung' di sini selama tiga hari bermula hari ini sempena Kongres Nasional PKR kali kelima.

Kongres yang dengan tema 'Harapan Baru' dimulakan dengan kongres bagi Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) di mana ucapan dasar ketua disusuli pembahasan usul.

Majlis perasmian kongres Wanita dan AMK bermula jam 9.30 pagi tadi dan dirasmikan oleh Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali di Stadium Malawati, di sini.

Kongres Wanita akan diadakan di Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) sementara bagi AMK diadakan di Stadium Malawati.

Kongres Wanita pada hari ini dijangka akan membawa usul mencadangkan supaya wanita Wanita turut diberi peluang untuk memegang jawatan naib presiden parti.

Sementara itu, AMK akan membawa dua usul termasuk usul daripada AMK Selangor yang diketuai oleh Khairul Anuar Ahmad Zainudin. - Watan

PR tetap komited ambil alih kerajaan - Syed Husin

Shah Alam, 28 November - Pakatan Rakyat (PR) tetap komited bagi memastikan sasaran mengambil alih kerajaan selepas kegagalan pada 16 September lalu menjadi kenyataan.

Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali berkata, langkah sedemikian bagi memastikan matlamat yang disasarkan benar-benar menjadi kenyataan tanpa menghampakan penyokong setia pakatan pembangkang itu.

"Kita akan kurangkan bercakap mengenainya, tapi akan berusaha untuk mencapainya kerana pengajaran yang kita peroleh daripada yang lepas," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Kongres Wanita Nasional dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) di sini, hari ini.

Jelas beliau PR tidak lagi akan terus mencanangkan kepada umum mengenai tarikh-tarikh baru dan sasaran untuk mengambil alih kerajaan.

"Kita akan fokuskan mengenai agenda, bagaimanapun 16 September bukanlah sebagai permulaan dan pengakhiran.

"Ini hanya permulaan kepada segala-galanya, kita sentiasa bersedia untuk perubahan yang mungkin berlaku bila-bila masa sahaja," katanya.

Jelas beliau lagi, kemungkinan peralihan kuasa akan berlaku lebih awal iaitu sebelum Pilihanraya Umum ke-13.

Beliau berkata, selepas pilihanraya yang lalu, majoriti rakyat dari pelbagai lapisan menyambut dengan ghairah serta penuh harapan apabila timbul ura-ura pertukaran kuasa kerajaan pusat.

"Namun apabila ini tidak berlaku, maka ramai yang kecewa hingga ada yang menuduh kononya pimpinan PR, khususnya Datuk Seri Anwar Ibrahim berbohong mengenai bilangan ahli Parlimen (Barisan Nasional) yang hendak berpindah (lompat parti). - Mstar