Memaparkan catatan dengan label Mb. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Mb. Papar semua catatan

Khamis, 27 November 2008

Adun Pas nafi 'paksa' MB Kelantan berundur

Kota Bharu, 27 November - Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Kelantan, Zulkifli Mamat menafikan wujudnya desakan daripada kalangan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pas supaya Menteri Besar, Tuan Guru Nik Abdul Nik Mat berundur dari jawatannya.

Malah Adun Pulai Chondong itu berkata, pihaknya mahukan Mursyidul Am Pas itu agar dipanjangkan umur supaya boleh mentadbir Kelantan lebih lama.

"Sepatutnya Tok Guru memerintah lebih lama lagi. Tiada pakatan untuk gesa tok guru berundur sama ada secara sulit atau tidak," katanya kepada pemberita selepas taklimat Homestay anjuran Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Kelantan di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Tuan Guru Nik Aziz yang 'tidak sabar' untuk melepaskan jawatan itu jika Adun Kelantan daripada Pas memintanya berbuat demikian Selasa lalu.

Sebelum ini, sebuah akhbar mingguan melaporkan bahawa beberapa wakil rakyat daripada parti itu mahu beliau meletak jawatan ,pada masa gemilang beliau, dan memberi laluan kepada pemimpin muda parti itu bagi menerajui Kelantan.

Malah menurut laporan itu, golongan berkenaan mahu Nik Abdul Aziz yang dianggap sudah berumur dan mengalami masalah kesihatan, menyediakan pelan peralihan kuasa segera kerana kerap berlaku mesyuarat penting membabitkan keputusan segera kerajaan negeri terpaksa ditangguh kerana beliau berada di hospital.

Sementara itu, Adun Bukit Tuku, Abdul Fatah Haron meminta pihak yang membuat dakwaan itu agar tampil ke hadapan agar bersuara mengenai gesaan itu.

"Tidak ada sebab kami mahukan tok guru berhenti. Tok guru memang dikenali sebagai bapa perpaduan. Kami tidak mahu dia berhenti," katanya.

Adun Tawang, Hassan Mohamood pula berkata, isu gesaan itu tidak pernah dibangkitkan di kalangan wakil rakyat Pas kerana mereka akan menyokong Nik Abdul Aziz sehingga akhir hayatnya.

"Kita sokong Tok Guru sampai mati. Semua terus sokong," katanya sambil menyifatkan gesaan itu datang daripada pihak luar dan bukan di kalangan Adun Pas. - Bernama

Ahad, 23 November 2008

MB T'ganu janji tidak akan tarik balik kes royalti - Mustaffa Ali

oleh Syukree Hussain

Marang, 23 November - Pesuruhjaya Pas Terengganu, Dato' Mustaffa Ali mendedahkan bahawa Menteri Besar Terengganu, Dato' Ahmad Said berjanji tidak akan tarik balik kes berhubung wang royalti petroleum.

Janji tersebut dibuat oleh Ahmad ketika kunjungan Mustaffa dan beberapa pimpinan Pas selepas beberapa hari Ahmad dilantik menjadi Menteri Besar.

Semasa tahun 2000, Kerajaan Pas Terengganu ketika itu menfailkan kes wang royalti yang ditarik balik oleh kerajaan persekutuan selepas setahun Pas memerintah.

Pendedahan tersebut dibuat oleh Mustaffa ketika menyampai pidato semasa ceramah perdana di Rusila, Marang semalam.

Turut berceramah ialah Penasihat PKR Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Naib Presiden PKR Mustaffa Kamil Ayub.

Menurut Mustaffa, beliau menasihati Menteri Besar Terengganu itu kerana bimbang jika kes tersebut digugarkan, rakyat Terengganu tidak lagi memperolehi hasil tersebut.

"Walaupun baru-baru ini, Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Badawi mengumumkan bahawa Kerajaan negeri mendapat hak untuk menguruskan wang royalti, tetapi harus diingat hanya hak pengurusan sahaja, bukan hak sebenar," ujarnya di depan lebih 5,000 ribu yang hadir.

Mustaffa Ali turut mendedahkan bahawa mengikut sumber dalaman Pembendaraan Negeri, wang royalti masih tidak diterima oleh Kerajaan negeri sekarang walaupun sudah hampir setahun memerintah. - Malaysia Today

Selasa, 18 November 2008

Reformis ingin berbogel, tindakan tidak bermaruah - Nik Aziz

Kota Bharu, 18 November - Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan cadangan Gerakan Reformis Rakyat Malaysia (Reformis) mengadakan demontrasi sambil berbogel bagi membantah kerajaan Selangor sebagai tidak bermaruah.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, tindakan untuk berbogel sebagai membantah kerajaan Selangor kerana menaik kadar sewa rumah Projek Perumahan Rakyat, bukan satu cara demontrasi yang wajar dilakukan.

"Kisah Nabi Adam dimurkai Allah sehingga telah dibogelkan dan dihantar ke atas bumi dan sampai di bumi beliau terus mencari daun kayu untuk menutup auratnya.

"Jadi kenapa kita yang bermaruah pula nak berbogel?

"Bogel tak boleh dilakukan lebih-lebih lagi di khalayak ramai, tak ada manusia yang boleh terima bogel, dalam bilik air pun kita dianjurkan berdoa untuk mengelak gangguan syaitan.

"Masih banyak lagi cara untuk menyampaikan sebarang bantahan atau tidak puas hati tetapi janganlah sampai untuk berbogel, ini cara seumpama monyet," katanya selepas merasmikan kedai London Fish Tales di sini, semalam.

Baru-baru ini Presiden Reformis, Ramlan Abu Bakar dilaporkan berkata mereka akan mengadakan demontrasi secara berbogel sebagai tanda protes terhadap tindakan kerajaan Selangor untuk menaikkan kadar sewa rumah dari RM124 kepada RM250 sebulan.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangorn(Jais), Dato' Muhammed Khusrin Munawi dilaporkan berkata, tindakan akan diambil kepada mereka yang berbogel kerana ia bertentangan dengan ajaran Islam.

Musyidul Am Pas itu berkata perbuatan berbogel merupakan satu tindakan tidak bermaruah dan akan memalukan rakyat Malaysia.

Tidak ada istilah ketuanan Melayu dalam Islam - Nik Aziz

Kota Baharu, 18 November - Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, tiada istilah ketuanan Melayu atau kelebihan terhadap satu bangsa ditekankan di dalam Islam.

Sebaliknya, Menteri Besar Kelantan itu berkata, Islam merupakan agama yang universal tidak memberi sebarang keutamaan kepada mana-mana bangsa melainkan kelebihan itu akan diberikan kepada individu yang mempunyai ketakwaan yang sepenuhnya kepada Allah.

"Di dalam agama Islam, tidak mengira bangsa, apa yang penting adalah takwa kepada Allah.

"Tidak kiralah bangsa apa, Cina, Melayu, India atau Arab.

"Allah hanya melihat kepada ketakwaan seseorang itu kerana bila kita bertakwa, kita takut kepada Allah dan menjalankan tanggungjawab kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan restoran London Fish Tales, di sini semalam.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim Ahad lalu yang mengingatkan orang Melayu bahawa mereka tidak boleh terlalu bergantung kepada konsep ketuanan Melayu-

Menurut Dr Rais, ini kerana ia lebih merupakan perasaan atau ego politik yang tidak disokong oleh kekuatan dalam perjuangan atau peruntukan Perlembagaan negara.

Nik Abdul Aziz berkata, beliau menyifatkan perjuangan sesuatu parti terhadap satu bangsa tanpa mementingkan agama boleh membawa kepada satu kesan yang tidak sihat dan tidak berkekalan.

"Sebab itu saya masuk parti Islam, yang memperjuangkan agama kerana ianya tidak akan kehabisan.

"Matlamat perjuangannya sentiasa ada iaitu demi agama tanpa mengira kepentingan bangsa pun.

"Saya tidak duduk dalam politik yang gunakan Melayu, tetapi saya duduk dalam gerakan Islam," katanya.- Bernama

Isnin, 17 November 2008

Sekolah agama teknik dan vokasional akan ditubuhkan - Kerajaan Selangor

Shah Alam, 17 November - Kerajaan negeri Selangor bercadang untuk menubuhkan sekolah agama teknik dan vokasional di negeri itu tidak lama lagi.

Perkara itu diberitahu oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini, di sini.

Katanya, sekolah agama teknik dan vokasional akan ditubuhkan segera bagi menampung pelajar untuk mendapatkan pendidikan agama secara formal sehingga tingkatan lima.

Abdul Khalid memberitahu bahawa ia berikutan terdapat banyak permohonan untuk memasuki sekolah agama sedangkan tempatnya terhad.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan perjumpaan khas guru-kuru kelas al-Quran dan fardu ain (Kafa) negeri Selangor 2008 di Shah Alam pagi tadi.

Hadir sama ialah Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu ketika bercakap dalam sidang akhbar kemudiannya, beliau berkata, kerajaan negeri akan membincangkan cadangan itu dengan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan pihak swasta.

Menurutnya, rangka tindakan cadangan tersebut dijangka dapat disiapkan enam bulan lagi.

Sehubungan itu Abdul Khalid berharap, kerajaan pusat dapat menyediakan pembiayaan memandangkan program itu memberi kebaikan kepada negara secara keseluruhannya. - Malaysiakini