Khamis, 27 November 2008

Kongres PKR: 2,000 pewakilan 'berkampung' di Shah Alam

oleh Muhamad Hussain

Shah Alam, 27 November - Kongres Nasional PKR bakal menyaksikan perwakilan dari 110 Bahagian mewakili seluruh pelusuk negara.

Menurut Setiausaha Agung PKR, Sallehudin Hashim, dianggarkan lebih 2,000 perwakilan akan berkumpul di Stadium Malawati di sini dari 28 hingga 30 November ini.

"Secara tidak langsung kongres kelima parti ini akan menjadi perhimpunan kongres terbesar pernah dianjurkan," katanya.

Kata Sallehudin lagi, semua perancangan dan persediaan sudah dimulakan sejak 10 hari lalu dan persediaan yang dilakukan adalh untuk memastikan Kongres kali ini lebih tersusun dan juga meriah.

Beliau menambah bahawa kakitangan parti di sekreteriat untuk kerja-kerja biasa sudah mencukupi tetapi apabila ada programk seperti kongres dan sebagainya maka khidmat kakitangan parti di peringkat negeri-negeri juga turut diperlukan.

Jelasnya, terdapat 13 orang setiausaha kerja yang bergaji iaitu wakil pusat di pejabat negeri dan mereka akan ke Kuala Lumpur mulai 24 November lalu untuk membantu kerja-kerja yang berkaitan.

“Tahun ini persediaan lebih ketara berbanding sebelum ini, dan ia dibuat secara lebih meriah.

"Tidak semestinya perhmpunan kali ini terlalu besar tetapi lebih meriah kerana kita telah dipesan oleh Kerajaan Selangor supaya menyewa Stadium Melawati.

"Dulu tidak boleh, bukan sahaja untuk anjurkannya dewan kerajaan, malah dewan bukan kerajaan pun orang tidak berani nak sewakan.

"Jadi kita bakal buat di Satdium Melawati yang boleh memuatkan seramai 12,000 orang,” tambah beliau lagi.

Sallehudin menjangka lebih 10,000 termasuk pemerhati dan pihak media akan menghadir kongres nasional parti untuk kali ini.

Beliau berkata Kerajaan Selangor juga akan menganjurkan satu Karnival Rakyat Selangor di tapak berasingan tetapi berdekatan stadium tertutup berkenaan.

Sehubungan itu, katany,a rakyat dan khususnya warga Selangor akan turut memeriahkan karnival dan juga kongres yang bakal diadakan.

“Di samping itu program kita ni tahun ini kita mahu tekankan dan menerangkan apa yang telah dan akan kita buat memandangkan kita sudah jadi kerajaan negeri.

"Kalau dulu kita tidak habis-habis merungut sebab kita pembangkang tetapi sekarang ini kita mahu tekankan apa yang bakal kita buat sebagai kerajaan,” ujarnya lagi.

Menurutnya lagi, keperluan logistik tempat tinggal dan sebagainya walaubagaimanpun mesti dibiayai oleh peserta sendiri.

Beliau menambah pihak sekretariat jawatankuasa pengelola kongres juga akan cuba mengusahakan untuk menyediakan makanan kepada perwakilan yang hadir tetapi walaubagaimanapun beliau mengakui ia mungkin rumit sikit untuk dilakukan.

Beliau yang dilantik mengantikan Menteri Besar Selangor sebagai Setiausaha Agung, bagaimanapun merasakan bahawa soal keselamatan adalah tidak begitu runcing kecuali ada pihak yang membuat kacau.

“Tapi saya yakin kerajaan Selangor sebagai yang kerajaan kita kuasai ini, banyak memberikan kerjasama dan diyakini polis negeri juga akan memberi kerjasama.
"Jadi masalah keselamatan ini bukannya perkara yang rumit. Saya yakin Insya-Allah,” tambahnya lagi. - Watan

PKR, BN berkerjasama bantu rakyat

oleh Syukree Hussain

Kuantan, 27 November - PKR dan BN di Parlimen Kuantan bersatu untuk berkerjasama dalam isu-isu yang melibatkan rakyat.

Perkara tersebut dipersetujui oleh Ahli parlimennya, Fuziah Salleh dan Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob dalam pertemuan empat mata Jumaat lalu.

Pertemuan selama lebih kurang 45 minit itu turut disertai oleh Adun Tanjung Lumpur, Datuk Wan Adnan Wan Mamat dan Adun Inderapura, Datuk Shafik Fauzan.

"Fokus utama agenda pertemuan ini adalah utk membincangkan isu dan permasalahan rakyat.

"Tujuan saya berjumpa dengan Menteri Besar adalah untuk membincangkan satu bentuk kerjasama mengenai
masalah yang dihadapi rakyat di kawasan Parlimen Kuantan," ujarnya.

Menurut Fuziah, sebelum ini, selalunya bantuan bencana untuk kawasan Parlimen Kuantan sukar untuk diluluskan dan disekat.

"Perkara seperti inilah yang kita sepakat untuk melicinkan segala urusan penyerahan bantuan terutama kepada mangsa bencana," jelasnya.

Demi kepentingan rakyat, katanya, PKR dan BN sanggup mengenepikan kepentingan politik dan bersama-sama membantu mereka yang memerlukan.

Sementara itu, diakhir pertemuan, Adnan mengakui bahawa Fuziah merupakan wakil rakyat yang benar-benar berkerja untuk rakyat dan rakyat menyukai khidmat yang

diberikan.

Oleh yang demikian, Menteri Besar itu bersedia bekerjasama dalam hal-hal yang melibatkan isu rakyat, malah membuka laluan untuk Fuziah mengadakan

perbincangan secara terus dengan Adun di bawah Parlimen Kuantan untuk menyelesaikan permasalahan rakyat.

Kesemua Dun di bawah Parlimen dimenangi oleh BN dalam pilihan Raya Umum lalu, dan PKR memenangi dua parlimen dan satu Dun di Pahang. - Malaysia Today

Wartawan dihalang interbiu MP

oleh Revolusi Tak Berbogel

Parlimen, 27 November - Seorang wartawan yang tidak ingin namanya disiarkan telah dihalang oleh beberapa pegawai keselamatan Parlimen, semasa beliau sedang menemubual seorang ahli Parlimen dari Selangor.

Kejadian itu berlaku jam 5 petang ini, di lobi parlimen.

Menurut sumber, wartawan itu dihalang membuat liputan di atas alasan tidak memiliki pas media.

Namun, Pengarah Perhubungan Parlimen telah membenarkan beliau membuat kerja-kerja media walaupun tanpa pas media yang dikeluarkan oleh Kementerian Penerangan Malaysia.

Wartawan tersebut merupakan seorang wartawan bebas yang menyediakan berita untuk beberapa surat khabar termasuk surat khabar online.

Wartawan itu telah dipecat daripada seorang surat khabar parti kerana tidak sehaluan dengan ketua pengarang dan pihak pengarang telah menggunakan cara kotor untuk menyingkirkannya.

Antaranya, ketua pengarang yang juga merupakan reformis pada tahun 1998 menuduh beliau 'sakit' dan mengugut untuk membuat laporan polis diatas kesalahan yang direka-reka. - Tidak Bernama

Anak muda taruh harapan kepada PKR untuk perubahan

oleh Syukree Hussain

Kuala Lumpur, 27 November - Kelab Anwar Ibrahim (AIC) meletakan harapan yang tinggi pada PKR bagi mereformasikan Malaysia dan sentiasa berharap perubahan kearah yang lebih baik dapat dilaksanakan.

Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Exco AIC, Syafiq Sunny, sempena kongres Nasional PKR yang akan berlangsung di Shah Alam esok hingga Ahad ini.

"Kami AIC mengucapkan selamat berkongres kepada seluruh perwakilan Parti KeADILan Rakyat," katanya.

Menurutnya, kelab itu juga berharap agar para perwakilan yang hadir dapat membawa aspirasi rakyat untuk diperdengarkan di kongres kali ini dan berharap tidak ada agenda peribadi bagi mereka di kongres ini.

"Rakyat telah menunjukan sokongan yang kuat pada Pilihanraya Mac lalu serta Pilihanraya Kecil Permatang Pauh September lalu kini tibanya masa untuk PKR membuktikan aspirasi dan menunaikan harapan rakyat!" ujarnya dalam kenyataan beliau kepada Seruan Keadilan.

Semua fitnah dan tomahan adalah tidak benar - Saiful Bukhari



oleh Muhamad Hussain

Kuala Lumpur, 27 November - Pemuda yang membuat 'tuduhan fitnah' terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini, menyangkal segalan tomahan dan fitnah yang dihadapi beliau.

Menurutnya, semuanya termasuk apa yang tersebar dalam laman web kononnya beliau kini terlantar sakit, menjadi lumpuh dan mengidap penyakit kelamin serta telah meninggal dunia, adalah rekakan pihak tertentu.

"Saya ingin menegaskan bahawa keadaan kesihatan saya adalah sangat baik, seperti apa yang dapat dilihat hari ini," katanya selepas keluar daripada Pejatan Jabatan Agama Islam Wilayan Persekutuan (Jawi) pada jam 11.45 pagi hari ini.

Saiful yang ditemani oleh bapanya, Azlan Mohd. Lazim dan peguamnya, Zamri Idrus tiba di pengkarangan Jawi pada jam 11.05 pagi.

Keadaan beliau dilihat amat baik dan sihat.

"Saya sentiasa berdoa kehadrat Allah agar kebenaran ditegakkan," tambahnya.

Ditanya bila akan melangsungkan perkahwinan, jawabnya, jika ada jodoh beliau akan melangsungkan perkahwinan dalam masa terdekat bersama tunang beliau, Janna Mohd Zaki. - Watan

Jom Heboh: Pemuda Pas Penang kecewa dengan KM

Georgetown, 27 November - Ketua Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang, Mohamed Hafiz Mohamed Nordin menganggap Ketua Menteri, Lim Guan Eng tidak menghormati Islam kerana meluluskan penganjuran ‘Konsert Jom Heboh’ baru-baru ini.

Menurut Mohamed Hafiz, tindakan Ketua Menteri itu seolah-olah tidak mengendahkan hukum Islam, pada hal sebelum ini beliau telah memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri akan mengikut sistem pentadbiran Khalifah Umar Abdul Aziz.

“Kebenaran Kerajaan Negeri yang meluluskan konsert tersebut nyata bercanggah dengan cara pentadbiran Khalifah Umar Abdul Aziz yang bukan hanya menekankan soal kemungkaran malah menghapuskan sebarang aktiviti kemungkaran yang dilakukan oleh rakyat.

“Jika hal ini berterusan, Dewan Pemuda Pas menganggap Ketua Menteri tidak peka mengenai Islam,” katanya.

Beliau berkata, sebagai sebuah kerajaan Pakatan Rakyat (PR) seharusnya Ketua Menteri mendengar dan menerima pandangan serta bantahan daripada parti-parti komponen lain.

“Islam bukan melarang umatnya berhibur tetapi biarlah hiburan yang tidak menggalakkan kepada kemungkaran dan mematuhi ajaran Islam.

“Surat rasmi bantahan penganjuran tersebut telah dikemukakan kepada Ketua Menteri, dan Majlis Perbandaran Sebarang Perai (MPSP) namun sehingga hari ini (Selasa) tiada sebarang maklum balas daripada beliau.

“Perkara ini amat mengecewakan kita kerana apa yang dijanjikan oleh Ketua Menteri pada awalnya berlainan dengan apa yang dilaksanakan pada hari ini,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini Ketua Menteri belum pernah mengadakan pertemuan atau perbincangan dengan Dewan Pemuda Pas berhubung keadaan semasa dan juga kepentingan rakyat.

“Sebagai Ketua Menteri, beliau sepatutnya mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan parti-parti komponen lain dalam PR,” katanya.

Mohamed Hafiz menganggap Kerajaan Negeri membelakangi pandangan parti komponen lain dalam Pakatan Rakyat (PR). - Sinar Harian

[Pihak Seruan Keadilan akan menghubungi Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang itu dan Ketua Menteri Pulau Pinang untuk mendapat gambaran lebih lanjut]

Adun Pas nafi 'paksa' MB Kelantan berundur

Kota Bharu, 27 November - Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Kelantan, Zulkifli Mamat menafikan wujudnya desakan daripada kalangan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pas supaya Menteri Besar, Tuan Guru Nik Abdul Nik Mat berundur dari jawatannya.

Malah Adun Pulai Chondong itu berkata, pihaknya mahukan Mursyidul Am Pas itu agar dipanjangkan umur supaya boleh mentadbir Kelantan lebih lama.

"Sepatutnya Tok Guru memerintah lebih lama lagi. Tiada pakatan untuk gesa tok guru berundur sama ada secara sulit atau tidak," katanya kepada pemberita selepas taklimat Homestay anjuran Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Kelantan di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Tuan Guru Nik Aziz yang 'tidak sabar' untuk melepaskan jawatan itu jika Adun Kelantan daripada Pas memintanya berbuat demikian Selasa lalu.

Sebelum ini, sebuah akhbar mingguan melaporkan bahawa beberapa wakil rakyat daripada parti itu mahu beliau meletak jawatan ,pada masa gemilang beliau, dan memberi laluan kepada pemimpin muda parti itu bagi menerajui Kelantan.

Malah menurut laporan itu, golongan berkenaan mahu Nik Abdul Aziz yang dianggap sudah berumur dan mengalami masalah kesihatan, menyediakan pelan peralihan kuasa segera kerana kerap berlaku mesyuarat penting membabitkan keputusan segera kerajaan negeri terpaksa ditangguh kerana beliau berada di hospital.

Sementara itu, Adun Bukit Tuku, Abdul Fatah Haron meminta pihak yang membuat dakwaan itu agar tampil ke hadapan agar bersuara mengenai gesaan itu.

"Tidak ada sebab kami mahukan tok guru berhenti. Tok guru memang dikenali sebagai bapa perpaduan. Kami tidak mahu dia berhenti," katanya.

Adun Tawang, Hassan Mohamood pula berkata, isu gesaan itu tidak pernah dibangkitkan di kalangan wakil rakyat Pas kerana mereka akan menyokong Nik Abdul Aziz sehingga akhir hayatnya.

"Kita sokong Tok Guru sampai mati. Semua terus sokong," katanya sambil menyifatkan gesaan itu datang daripada pihak luar dan bukan di kalangan Adun Pas. - Bernama

Jawi panggil Saiful hari ini

Kuala Lumpur, 27 November:

1048 : Kehadiran peguam Saiful, Zamri Idrus. Menurutnya, Saiful dalam perjalanan menuju Jawi.

1040 : Lebih 20 pengamal media berkumpul depan pejabat Jawi menunggu kehadiran Saiful

1020 - Keadaan di Jawi masih lenggang. Saiful masih belum muncul.

[Berita Terdahulu

Saiful Bukhari Azlan, pemuda yang membuat fitnah terhadapa Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim akan hadir di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) pada jam 11 pagi hari ini.

Menurut sumber, kehadiran Saiful adalah berhubung laporan tuntutan qazaf (tuduhan palsu) yang dibuat oleh Anwar terhadapnya di Mahkamah Syariah pada 9 Julai lalu.

Ketua Pakatan Rakyat itu pada 7 Ogos lalu turut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen terhadap 'tuduhan fitnah' Saiful di sebuah kondominium di Damansara, di sini pada 26 Jun.

Sehubungan itu, Saiful telah diminta hadir memberi keterangan kepada Jawi berhubung tuntutan qazaf tersebut pada 19 Ogos.

Mengulas lanjut, sumber itu memberitahu lagi, kemunculan Saiful di Jawi esok bertujuan menangkis tohmahan dan laporan palsu yang tersebar sebelum ini kononnya beliau ditimpa bala dan sumpah memakan dirinya.

"Saiful perlu hadir di Jawi esok. Pada masa yang sama, beliau ingin menunjukkan yang cerita beliau ditimpa bala adalah tidak benar," jelas sumber itu.

Pihak Seruan Keadilan akan cuba mendapatkan apa yang ingin diperkataan oleh Saiful hari ini. - mstar

[Berita akan dikemaskini]