Jumaat, 12 Disember 2008

Pas umum calon PRK KT pada 21 Disember

Kuala Terengganu, 12 Disember (Mtoday) - Calon Pas yang akan bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu (KT) akan diumumkan pada 21 Disember ini.

Perkara itu akan diumumkan oleh Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa selepas mesyuarat khas Jawatankuasa PAS Pusat di sini, pada tarikh tersebut.

"Bagaimanapun kita akan umumkan nama calon pada satu program lain yang akan ditentukan kemudian selepas mesyuarat khas tersebut," katanya kepada pemberita
selepas mempengerusikan mesyuarat persiapan pilihan raya Pas untuk PRK KT di sini, semalam.

Beliau yang juga Pengarah Jawatankuasa Induk PRK KT, berkata pada masa ini kesemua 71 cawangan dalam parlimen berkenaan, diminta mengemukakan senarai calon.

Katanya senarai nama tersebut akan dikemukakan kepada Badan Perhubungan Pas negeri untuk dipertimbangkan sebelum diluluskan oleh Jawatankuasa Pas Pusat.

"Biasanya, Pas negeri akan mengemukakan tiga nama kepada Pas Pusat untuk mendapat kelulusan bagi pemilihan calon," tambah beliau.

Bagaimanapun, beliau mengesahkan setakat ini, Pas Terengganu belum menerima senarai calon tersebut daripada cawangan-cawangan dalam Parlimen Kuala Terengganu.

Mengenai kriteria calon yang akan dipilih, beliau berkata bahawa calon tersebuty boleh memenangkan Pas dan Pakatan Rakyat (PR).

Beliau turut melahirkan keyakinan bahawa parti itu boleh merampas kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada yang akan diadakan pada 17 Januari depan berdasarkan kepada senario politik sekarang.

Menurutnya parti-parti lain dalam PR juga bersetuju untuk memberikan sokongan kepada Pas dalam usaha untuk merampas kembali kerusi parlimen tersebut.

Nasharuddin berkata parti itu akan mengadakan majlis pelancaran jentera pilihan rayanya di Markas Tarbiyah Pas Kuala Terengganu di Kuala Ibai di sini, malam ini.

Kerusi Parlimen Kuala Terengganu kosong berikutan penyandangnya Timbalan Menteri Pelajaran, Allahyarham Datuk Razali Ismail meninggal dunia secara mengejut
ketika bermain badminton di Genting Highlands hujung bulan lepas.

Pada pilihan raya umum 8 Mac lepas, Allahyarham mengekalkan kerusi berkenaan apabila menewaskan Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu dan calon Bebas, Maimun Yusof dengan majoriti 628 undi.

MP Seputeh Saman Chamil Wariya, Utusan RM 30 juta

Kuala Lumpur, 12 Disember (MToday) - Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok menfailkan saman terhadap Datuk Chamil Wariya

dan Utusan Malaysia dengan jumlah RM30 juta berhubung penerbitan cerpen 'Politik Baru YB J', Oktober lepas.

Teresa berbuat demikian terhadap Chamil berikutan penulis itu menfitnahnya melalui cerpen yang disiarkan dalam

akhbar Mingguan Malaysia terbitan Utusan.

Cerpen itu dipetik menceritakan seorang ahli parlimen wanita Cina, yang ditujukan kepada Exco Selangor itu.

Cerpen yang terbit pada 12 Oktober mengambarkan seorang wakil rakyat bernama Josephine dianggap seorang yang

anti-Melayu dan anti-Islam pada pandangan parti orang Melayu (POM).

Watak itu kemudian mati ditembak oleh penyokongnya sendiri di atas pentas di sebuah program untuk anak muda Cina.

Karya itu disiarkan beberapa hari selepas Teresa, menfailkan saman RM30 juta terhadap akhbar yang sama dan editor

kanannya Mohd Zaini Hassan berhubung artikelnya tentang azan.

Teresa berpendapat akhbar itu dan Mohd Zaini telah memfitnahnya dalam satu artikel yang disiarkan pada 10 September lalu.

Artikel tersebut dikatakan melaporkan fitnah peranan Teresa dalam meminta sebuah masjid di Petaling Jaya supaya memperlahankan bunyi pembesar suara ketika azan.

Walaubagaimanapun, beliau menafikan dakwaan tersebut.

Teresa ditahan di bawah Akta Keselamatan dalam Negeri pada 12 September lalu dan dibebaskan pada seminggu kemudian.