Rabu, 19 November 2008

Pimpinan sedia jawab isu 16 September semasa kongres - Tian Chua

Parlimen, 19 November - Pimpinan tertinggi PKR akan menjawab segala persoalan yang akan dibangkitkan perwakilan pada Kongres Tahunan parti itu bermula 28 hingga 30 November ini.

Menurut Ketua Penerangan PKR, Tian Chua, antara yang dijangka akan menjadi topik hangat yang bakal disebut perwakilan ialah isu peralihan kerajaan 16 September.

Beliau yang ditemui di Lobi Parlimen hari ini mengakui persoalan itu sudah mula timbul di kalangan perwakilan dan ia dibincangkan mutakhir ini.

"Kita pimpinan akan sedia menjawab persoalan ini, dan kita yakin kongres kali ini akan menjadi wadah untuk kita menerangkan kepada ahli dan perwakilan berhubung hal 16 September," katanya.

Mengulas lanjut beliau menyatakan, secara teknikalnya peralihan memang tidak berlaku pada 16 September tetapi pihak pimpinan akan terus mengusahakan satu pembaharuan kerajaan yang diimpikan.

"Tarikhnya tidak ditetapkan tetapi usaha ke arah itu sedang dibuat oleh pimpinan Pakatan Rakyat(PR).

"Kita yakin ahli dan penyokong masih terus mengharapkan perubahan ini dipimpin oleh pimpinan ketiga-tiga parti PR," katanya.

Sementara itu, Tian Chua turut memaklumkan Kongres KeADILan yang akan diadakan di Stadium Melawati Shah Alam ini bakal menjadi medan kepada perwakilan dan parti untuk bermuhasabah diri.

Tambahnya, kongres pastinya akan membincangkan pencapaian parti pada pilihan raya umum ke-12, kemenangan dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh dan isu-isu dalaman parti.

Selain itu, beliau turut menjangkakan isu pentadbiran kerajaan negeri Pakatan Rakyat terutamanya Selangor yang diketuai oleh PKR akan dibincangkan sama.

Isu ekonomi, rasuah dan isu pentadbiran negara antara topik yang akan menghiasi perbahasan perwakilan, ujarnya.

Tian Chua yang juga Ahli Parlimen Batu turut menyatakan kongres kali ini akan mendapat sambutan hangat atau luar jangka di kalangan ahli dan penyokong.

Beliau menyatakan, pihak parti akan menjemput pemerhati dan memberi peluang kepada mereka untuk menyatakan pandangan kepada parti. - Harakah

Ketua Hakim diberi 7 hari letak jawatan - Pengerusi DAP

Parlimen, 19 November - Pengerusi DAP Karpal Singh meminta Ketua Hakim Negara Tan Sri Zaki Tun Azmi meletakkan jawatan dalam masa tujuh hari ekoran kenyataan Zaki mengenai rasuah di kalangan kakitangan mahkamah semasa beliau menjadi peguam pada 1987.

Menurutnya, Zaki jangan menafikan bahawa beliau telah mengeluarkan perkataan yang dilaporkan dalam the New Straits Times pada 8 November kerana ada rakaman audio mengenai apa yang beliau katakan di Kuching, sehari sebelum itu.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu berkata penjelasan oleh Zaki mengenai kenyataan itu, yang dilaporkan dalam akhbar yang sama pada 9 November, tidak mengandungi kebenaran tersebut.

Zaki dilaporkan berkata bahawa, beliau mengambil enam bulan untuk menjadi baik, rasuah setiap individu untuk diterima baik.

"Beliau dengan itu, bukanlah seorang yang layak dan yang sesuai untuk memegang jawatan tertinggi dalam badan kehakiman," kata Karpal Singh kepada pemberita di lobi Parlimen hari semalam.

Karpal berkata jika Zaki tidak meletak jawatan dalam masa tujuh hari, beliau akan membentangkan satu usul terhadapnya di bawah Artikel 127 Perlembagaan Persekutuan.

Artikel itu menyebut: "Perilaku seseorang hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi janganlah dibincangkan sama ada di Parlimen kecuali mengenai usul substantif di mana notis diberikan tidak kurang daripada suku keseluruhan bilangan anggota Dewan itu, dan tidak dibincangkan di Dewan Undangan mana-mana negeri". - Bernama dan Malaysiakini

Penjelasan Pengarah Strategik PKR tentang 'retreat'



Tarikh : 18 November 2008
Tempat : Kuala Lumpur