Isnin, 24 November 2008

Tahanan perhimpunan mansuh ISA dibebaskan

[Kemaskini - 1400]

oleh Syukree Hussain

Kuala Lumpur, 24 November - Sembilan orang yang ditahan semalam termasuk Naib Presiden Pas Mohamad Sabu dan Ketua Pemuda Pas Salahuddin Ayub dibebaskan jam 3.30 pagi ini.

Tujuh daripada mereka ditahan sewaktu polis bertindak menyuraikan perhimpunan tersebut.

Manakala Mohamad dan Salahuddin ditahan sewaktu mereka pergi ke balai polis Pandan Indah untuk memberi sokongan kepada mereka yang ditahan itu.

Mereka ditahan berhubung perhimpunan Malam Himpunan Mansuhkan ISA di Ampang Jaya malam tadi.

[Berita terdahulu]

Salah seorang tahanan 9, Ketua Pemuda Pas Wilayah Ustaz Kamaruzzaman Mohamad, mengesahkan bahawa kesemua tahanan kini sedang dalam proses memberi keterangan kepada polis dan belum tahu bila mereka akan dibebaskan.

Ustaz Kamaruzzaman menyatakan demikian ketika dihubungi oleh pihak Seruan Keadilan kira-kira jam 12.50 tadi.

Tahanan 7 merujuk kepada mereka yang ditahan ketika pihak polis menggunakan kekerasan dalam menyuraikan Perhimpunan mansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) malam tadi.

Mereka yang lain turut ditahan ialah Ketua Unit Amal PAS Wilayah Persekutuan, Ketua Penerangan Pemuda PAS Selangor, Mohd Sany Hamdan, Abdullah Rahman, Mohd Amir Ali Mohd Shah, Hafiz Zulkifli dan Azman Abdul Hamid.

Kemudiannya, Naib Presiden Pas Mohamad Sabu dan Ketua Pemuda Pas Salahuddin Ayub turut ditahan.

Terdahulu, pada 9:30 malam ketika Naib Presiden PAS itu berucap kepada penyokong yang hadir, beliau meminta mereka yang hadir supaya bersurai.

“Tetapi permit tidak dikeluarkan lebih kurang dua hari yang lalu.Maklumlah Malaysia masih lagi negara jakun. Perhimpunan aman masih memerlukan permit.”

Menurutnya, Pakatan Rakyat (PR) akan mengadakan satu lagi perhimpunan di Stadium Selayang namun tarikh tersebut akan diputuskan nanti.

Beliau berkata menjelang bulan Mac tahun hadapan mereka berharap ISA akan dapat dimansuhkan.

Kata-kata beliau itu diikuti dengan laungan mansuhkan ISA, jahanam undang-undang jakun, jahanam undang-undang rimba, laungan tersebut diikuti dengan takbir 'Allahuakbar' daripada mereka yang hadir.

Sebaik sahaja selesai Mohamad berucap, kira-kira 40 anggota polis anti-rusuhan (FRU) mula bertindak menyuraikan orang ramai.

Pada kira-kira jam 10 malam, hujan masih turun dan orang ramai beredar di situ manakala anggota polis anti-rusuhan kelihatan berhimpun di belakang pentas di padang tersebut.

Sebelum itu, anggota polis tersebut membentuk dua garisan dari sebelah tepi belakang padang ke sebelah tepi depan padang.

Ketika itu, kelihatan kira-kira 20 orang berpayung di tepi penjuru belakang padang.

[Berita terbaru akan dikemaskini]