Selasa, 25 November 2008

Polis dieksplotasi tangani kemaraan PR - Anwar

Parlimen, 25 November -Ketua Pakatan Rakyat (PR) Dato' Seri Anwar Ibrahim berkata pihak polis telah dipergunakan terutamanya dalam menangani kes-kes yang berkaitan dengan PR dan parti alternatif lain.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan pihak polis menyuraikan perhimpuan mansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) anjuran Gerakan Mansuh ISA (GMI) dan Pas, yang diadakan di Ampang Jaya, Ahad lalu.

"Perkembangan terakhir ini (menunjukkan) pihak polis diperalat untuk bertindak terlalu keras terhadap orang-orang yang yang protes (terhadap) ISA.

"Tapi kalau perhimpunan yang ditaja oleh UMNO dan rakan-rakannya, (ia) dibiarkan," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen semalam.

Anwar yang juga Penasihat PKR dijadualkan hadir sekitar kira-kira pukul 10 malam semalam bagi melancarkan perhimpunan tersebut.

Bagaimanapun beliu tidak hadir setelah dimaklumkan perhimpunan itu disuraikan oleh polis secara kekerasan kerana diadakan tanpa permit.

"Saya, Ustaz Hadi (Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang) dan Lim Kit Siang dijemput untuk hadir, namun kita dapat laporan lebih kurang pukul 9 malam perhimpunan itu diserbu," jelasnya.

"Ini satu perkembangan yang amat mendukacitakan.

"Kita pandang serius perkara ini, kalau benar salah (perkara ini) boleh diadakan rundingan dengan baik," katanya.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, beliau tidak faham mengapa perhimpunan seumpama itu sentiasa disifatkan boleh mengancam keselamatan negara sedangkan lebih banyak isu lain yang ditimbulkan menjurus kearah tersebut.

"Tindakan menghasut orang dengan mengatakan kita (PR) anti bahasa Melayu itu tidak ancam keselamatan negara?

"Seperti yang dilaporkan akhbar Utusan Melayu kononya bahasa Melayu diganti dengan bahasa Cina, tidakkah itu bohong?" Soalnya.

Menurut beliau isu-isu sedemikian lebih dianggap serius dan sebenarnya mampu mengancam keselamatan negara. - Mstar