Rabu, 3 Disember 2008

PR alu-alukan penyertaan Zaid Ibrahim

Parlimen, 3 Disember - Pakatan Rakyat(PR) hari ini mengalu-alukan penyertaan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim ke dalam pakatan itu selepas beliau dipecat keahliannya daripada Umno semalam.

Ketua PR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Zaid banyak berkongsi prinsip hak asasi rakyat dan menghormati jaminan hak dalam perlembagaan iaitu isu sama yang diperjuangkan Pakatan Rakyat.

"Kenyataannya yang menghormati jaminan dalam perlembgaan dan menentang undang-undang zalim seperti ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) sama dengan apa yang diperjuangkan oleh kami dan kami selesa dengannya," katanya.

Penasihat PKR itu berkata demian pada majlis penyerahan salinan memorandum daripada Kongres Kesatuan Sekerja (MTUC) kepada Menteri Kewangan berhubung bantahan penggunaan RM5 bilion wang Kumpulan Simpanan Pekerja (KWSP) untuk Valuecap Sdn Bhd, di Parlimen.

Ditanya sama ada beliau akan menjemput Zaid menyertai PKR, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, beliau turut mengalu-alukannya namun tidak mahu memaksa Zaid memandangkan beliau baru sahaja dipecat dan Zaid juga sering mengadakan perbincangan dengan parti-parti lain termasuk Pas dan DAP.

"Kami selesa dengan pendiriannya dan mahu beliau melibatkan diri dengan lebih lagi memandangkan beliau kini sudah pun terlibat dengan PR," katanya.

Anwar berkata, pemecatan Zaid daripada Umno melambangkan sikap tidak bertoleransi parti itu kepada ahli yang mempunyai pendapat yang tidak sehaluan dengan parti.

"Kehadiran mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak itu tidak menjadi masalah tetapi itu isu Umno.

"Cuma kita harap Zaid mengambilnya sebagai cabaran dan terjun dalam gelanggang," katanya.

Mantan Timbalan Perdana Menteri itu berkata, pemecatan keahlian Zaid daripada Umno bukanlah satu perkara besar kerana kenyataan-kenyatan parti itu sebelum ini menunjukkan ia tidak mempedulikan prinsip asas hak asasi manusia dan hal ini tidak selari dengan pendirian Zaid.

"Pada saya, ia (pemecatan) bukan isu. Apa yang besar sangat jika dipecat?" katanya.

Ditanya sama ada Zaid pernah menyatakan hasrat untuk menyertai PKR, Anwar berkata, mereka pernah mengadakan siri perjumpaan tertutup dengan Zaid selepas beliau meletak jawatan sebagai menteri Kabinet.

"Bagaimanapun, yang tertutup itu biarlah tertutup," katanya yang enggan mengulas lanjut.

Zaid Ibrahim dipecat - Abdullah

oleh Syukri A Hussain

Kuala Lumpur, 3 Disember - Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim telah dipecat sebagai ahli Umno selepas mesyuarat Khas Umno yang dipengerusi oleh Perdana Menteri Abdullah Badawi malam tadi.

Perkara itu telah disiar dalam slot berita inggeris sebuah tv swasta jam 12 malam ini.

Zaid dipecat daripada Umno ekoran tindakan menghadiri dua program besar Pakatan rakyat.

Abdullah berkata, pemecatan Zaid itu berkuatkuasa serta merta.

Menjawab soalan pemberita dalam sidang akhbar selepas mesyuarat tersebut, beliau berkata, Zaid juga tidak boleh merayu terhadap pemecatannya itu.

Sabtu lalu, Zaid menghadiri majlis perasmian kongres nasional PKR di Stadium Malawati, Shah Alam dan program jamuan raksasa DAP di Pulau Pinang sehari sebelumnya.

Zaid juga dilaporkan berkata, beliau datang sebagai tetamu selepas menerima undangan daripada pucuk pimpinan parti tersebut.

Jelas beliau lagi, kehadirannya adalah untuk mendengar apa yang diperkatakan pucuk pimpinan dan perwakilan PKR mengenai keadaan semasa dalam negara.

Pihak Seruan Keadilan akan mendapatkan pandangan daripada Zaid dalam masa terdekat.

PKR tidak tawar Arif Shah jawatan exco PP - Anwar

Kuala Lumpur, 3 Disember - Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menafikan dakwaan bahawa parti itu menawarkan jawatan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang 1 kepada Datuk Arif Shah Omar Shah.

Dakwaan itu mengataka jika ahli Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Jayaitu bersetuju untuk menyertai PKR.

Ketua Pakatan Rakyat (PR) itu berkata, soal menawarkan jawatan yang kini disandang oleh Mohamad Fairus Khairuddin tidak timbul kerana ia hanyalah ura-ura yang berbangkit tambahan pula jawatan itu kini sudah diisi.

"Saya sudah bincang dengan Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan PKR negeri (dimana) perkara ini tidak berbangkit.

"Soal mengalu-alukan kehadiran Arif Shah memang ada tetapi ia tidak melibatkan perubahan kepimpinan di Pulau Pinang," katanya kepada media di lobi Parlimen di sini, semalam.

Anwar berkata, beliau masih belum menemui Arif Shah berhubung kemungkinan wakil rakyat BN di Parlimen Permatang Pauh itu akan menyertai PKR tetapi ada wakil parti yang telah berbincang dengan beliau mengenai perkara itu.

"Kita hormati keputusan beliau (Arif Shah) dan kita juga harus berlaku adil kepada beliau.

"Beliau tidak menuntut sesuatu yang tidak munasabah.

"Beliau tidak menuntut jawatan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang dan kita juga tidak berbincang.

"Kita sedia menerima beliau (menyertai PKR) sebagai ahli politik dan Adun atas dasar perjuangan.

"Kita akan bantu supaya khidmat beliau di di kawasannya akan lebih berkesan," katanya.

Ditanya mengenai prestasi Mohd Fairus yang juga merupakan Adun Penanti yang mendapat kritikan pelbagai pihak di Pulau Pinang, Anwar berkata, setakat ini teguran dan penilaian telah pun dilakukan.

"Namun ia bukan untuk beliau seorang tapi untuk semua Adun dan ahli Parlimen PKR supaya kelemahan yang disebut itu boleh diperbaiki," jelas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu. - Mstar