Selasa, 16 Disember 2008

2 wakil rakyat, 57 pengayuh ditahan lebih 8 jam

oleh Syukree Hussain



Selayang, 16 Disember (MToday) - Seramai 57 peserta berbasikal ajuran Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) termasuk 28 remaja di bawah umur 18 tahun ditahan polis kerana dikatakan 'menyertai' perhimpunan haram' di Sungai Choh di sini kira-kira pukul 6 petang semalam.

Turut ditahan adalah Adun Rawang (PKR), Gan Pei Nie dan ahli Parlimen Sungai Siput, Dr D. Jeyakumar (Parti Sosialis Malaysia).

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata penahanan kumpulan berbasikal tersebut terpaksa dibuat bagi menghentikan dan mengelakkan kanak-kanak daripada dieksplotasi oleh pihak tertentu.

"Polis bertindak demikian bagi menyelamatkan kanak-kanak ini daripada dianiya dan disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Sedangkan ketika kanak-kanak tersebut memberi keterangan, mereka memberitahu bahawa mereka tidak tahu menahu mengapa disuruh ikut serta dalam perarakan berbasikal tersebut," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Balai Polis Rawang semalam.

Beliau berkata polis akan menghubungi ibu bapa kesemua kanak-kanak dan remaja berkenaan supaya meminta mereka membawa pulang anak masing-masing sekaligus menyiasat sama ada kesemua mereka telah mendapat kebenaran daripada ibu bapa masing-masing atau tidak.

"Kita akan minta ibu bapa untuk membawa pulang kesemua anak-anak mereka yang menyertai kayuhan berbasikal itu untuk pulang semula ke utara," katanya.

Walau bagaimanapun sehingga jam 12 tengah hari ini, kesemua kanak-kanak belum dibebaskan.

Manakala, dua wakil rakyat dan 29 peserta lain sudah dibebaskan selepas diambil keterangan selama lebih lapan jam sekita jam 2.30 pagi tadi.

Khalid turut memberi amaran keras agar tiada lagi mana-mana pihak selepas ini bertindak membelakangkan dan melanggar undang-undang dengan membuat perhimpunan secara haram.

Katanya, Dr Jeyakumar ditahan kerena beliau mengaku sebagai penganjur kempen itu.

Khalid berkata mereka ditahan di bawah Seksyen 32 Akta Kanak-Kanak dan di bawah Seksyen 27 Akta Polis 1967 kerana membuat perhimpunan haram.

Ketika ditanya, kenapa peserta berbasikal di Bangi tidak ditahan, jawabnya 'tiada perarakan'.

Namun, bila ditanya maksud perarakan, beliau mula naik angin dengan hanya menjawab 'tiada pe-ra-ra-kan'.

Soal persiapan pihak polis menghadiran kempen 'Rakyat Pengayuh Perubahan' yang dikhabarkan akan berbasikal seramai 1000 orang menuju parlimen khamis ini, jelasnya, itu bidang kuasa kontijen Kuala Lumpur.



Sementara itu, selebih 500 orang berkumpul terutama daripada Hindraf berkumpul di harapan Balai Polis Rawang sejak jam 7.00 malam untuk mendesak polis membebaskan semua tahanan tanpa sebarang syarat.

Hampir 100 FRU bersama trak meriam air, trak dan bas dikerahkan untuk mengawal Balai Polis Rawang di sini sejak jam 11.00 malam tadi.

Pihak FRU hanya sempat memberi amaran loceng kedua supaya demostrator bersurai kerana melalui perbincangan Ahli Parlimen Selayang William Leong dan Khalid, mereka dibenar berhimpun sehingga semua tahanan dibebaskan.

Kebiasaannya, selepas tiga kali loceng amaran dibunyikan, FRU mula akan bertindak ganas dengan menyebur air dengan trak meriam air dan memukul para demostrator yang enggan bersurai.

Polis berpakaian biasa yang kebanyakan adalah SB akan menanggal para peserta demostrasi terbabit.

Turut hadir memberi sokongan ialah beberapa Ahli PBT Selayang, Ahli Parlimen Batu Tian Chua dan Ahli Parlimen Kapar S Manikavasagam.