Selasa, 18 November 2008

Jamuan Makan Malam Pakatan Rakyat - Langsung dari De Palma

oleh Syukree Hussain

19:30 - Ketibaan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR)

19:35 - Ketibaan Dato Seri Anwar Ibrahim dan Dato Seri Wan Azizah Ismail





20:00 - Jamuan Makan Malam bermula



20:10 - Ketibaan Penasihat DAP Lim Kit Siang



20:12 - Ketibaan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim



20:15 - Ketibaan YB Nurul Izzah Anwar dan Azmin Ali

20:23 - Ketibaan Timbalan Presiden PKR Dr Syed Husin Ali

20:25 - Ketibaan Presiden Pas Dato Seri Tuan Guru Haji Hadi Awang

20:40 - Anwar mulakan ucapan Amanat kepada Ahli Parlimen PR





[Video 1 minit Amanat Anwar]



[Berita akan dikemaskini]

Isu hina Islam: 1 jam RPK disoal siasat polis

[Kemaskini 16:30]

oleh Syukree Hussain

Sentul, 18 November - Pengendali laman web Malaysia Today Raja Petra Kamaruddin (RPK) disoal siasat hampir sejam oleh pihak polis di Balai Polis Sentul di sini.

Beliau yang ditemani isteri, Marina Abdullah dan lebih 20 penyokong tiba di balai tersebut kira-kira jam 2.30 petang.

Lima minit kemudian RPK terlebih dahulu membuat laporan polis terhadap Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kerana tidak membenarkannya menunaikan solat Jumaat semasa berada di Kem Tahanan Kamunting (Kemta).

"Laporan dibuat termasuk kenyataan yang dikeluarkan oleh Mufti Perak yang menyatakan tahanan ISA tidak perlu menunaikan fardhu Jumaat," jelasnya selepas keluar dari balai kira-kira jam 4 petang.

Beliau mula diambil kenyataan oleh polis pada jam 3 petang.

Walau bagaimanapun, RPK yang hadir bersama dua peguamnya, S Majitsidhu dan C Jadadish, tidak memberi sebarang kenyataan kerana sudah hampir 10 hari semasa beliau ditahan dalam ISA, kenyataannya sudah diambil.

Pihak polis menelefon beliau tengahhari tadi melalui ASP Aziz, meminta RPK hadir ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sentul berhubung kenyataan yang menghina Islam yang dipaparkan dalam laman web Malaysia Today.

Empat pihak iaitu Jakim, Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi), Yayasan Dakwah Islam Malaysia (Yadim) dan Mufti Perak telah membuat laporan terhadap RPK lebih kurang empat bulan lepas berkenaan perkara tersebut.

"Apa yang disiarkan dalam laman web Malaysia Today yang dikatakan telah menghina Islam adalah dikirim oleh pelawat melalui ruangan komen," jelas RPK yang menafikan beliau menghina Islam.

Beliau tidak mengetahui sama ada beliau akan dipanggil semua atau tidak oleh pihak polis pada masa akan datang.

PR adakan 'retreat' pertama hari ini

Parlimen, 18 November - Pakatan Rakyat (PR) akan mengadakan retreat - yang pertama sejak pilihan raya umum ke-12 pada Mac lalu, di ibu negara hari ini.

Pertemuan informal itu yang disertai ahli-ahli Parlimen PR, antara lain bertujuan membincangkan usaha merapatkan ikatan wakil-wakil rakyat PR.

Menurut sumber, difahamkan pertemuan ini bertujuan menyusun strategi PR untuk menghadapi beberapa isu semasa termasuk isu sasaran 16 September.

Ia merupakan siri pertemuan dua kali. Pertemuan kedua dijadual diadakan minggu depan.

"Pertemuan hari ini adalah 'retreat' yang pertama sejak Datuk Seri Anwar Ibrahim dipilih sebagai Ketua Pembangkang.

"Mahu adakan 'group binding', bertujuan merapatkan kerjasama di kalangan ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat," kata Pengarah Strategi PKR, Saifuddin Nasution.

Saifuddin yang juga anggota Sekretariat PR berkata, majoriti ahli Parlimen PR akan menghadiri pertemuan hari ini.

"Kira-kira 10 ahli Parlimen tidak dapat hadir hari ini, ada yang kini berada di luar negara seperti di Kuwait, Paris dan sebagainya," jelasnya. - mstar

Reformis ingin berbogel, tindakan tidak bermaruah - Nik Aziz

Kota Bharu, 18 November - Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan cadangan Gerakan Reformis Rakyat Malaysia (Reformis) mengadakan demontrasi sambil berbogel bagi membantah kerajaan Selangor sebagai tidak bermaruah.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, tindakan untuk berbogel sebagai membantah kerajaan Selangor kerana menaik kadar sewa rumah Projek Perumahan Rakyat, bukan satu cara demontrasi yang wajar dilakukan.

"Kisah Nabi Adam dimurkai Allah sehingga telah dibogelkan dan dihantar ke atas bumi dan sampai di bumi beliau terus mencari daun kayu untuk menutup auratnya.

"Jadi kenapa kita yang bermaruah pula nak berbogel?

"Bogel tak boleh dilakukan lebih-lebih lagi di khalayak ramai, tak ada manusia yang boleh terima bogel, dalam bilik air pun kita dianjurkan berdoa untuk mengelak gangguan syaitan.

"Masih banyak lagi cara untuk menyampaikan sebarang bantahan atau tidak puas hati tetapi janganlah sampai untuk berbogel, ini cara seumpama monyet," katanya selepas merasmikan kedai London Fish Tales di sini, semalam.

Baru-baru ini Presiden Reformis, Ramlan Abu Bakar dilaporkan berkata mereka akan mengadakan demontrasi secara berbogel sebagai tanda protes terhadap tindakan kerajaan Selangor untuk menaikkan kadar sewa rumah dari RM124 kepada RM250 sebulan.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangorn(Jais), Dato' Muhammed Khusrin Munawi dilaporkan berkata, tindakan akan diambil kepada mereka yang berbogel kerana ia bertentangan dengan ajaran Islam.

Musyidul Am Pas itu berkata perbuatan berbogel merupakan satu tindakan tidak bermaruah dan akan memalukan rakyat Malaysia.

Tidak ada istilah ketuanan Melayu dalam Islam - Nik Aziz

Kota Baharu, 18 November - Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, tiada istilah ketuanan Melayu atau kelebihan terhadap satu bangsa ditekankan di dalam Islam.

Sebaliknya, Menteri Besar Kelantan itu berkata, Islam merupakan agama yang universal tidak memberi sebarang keutamaan kepada mana-mana bangsa melainkan kelebihan itu akan diberikan kepada individu yang mempunyai ketakwaan yang sepenuhnya kepada Allah.

"Di dalam agama Islam, tidak mengira bangsa, apa yang penting adalah takwa kepada Allah.

"Tidak kiralah bangsa apa, Cina, Melayu, India atau Arab.

"Allah hanya melihat kepada ketakwaan seseorang itu kerana bila kita bertakwa, kita takut kepada Allah dan menjalankan tanggungjawab kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan restoran London Fish Tales, di sini semalam.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim Ahad lalu yang mengingatkan orang Melayu bahawa mereka tidak boleh terlalu bergantung kepada konsep ketuanan Melayu-

Menurut Dr Rais, ini kerana ia lebih merupakan perasaan atau ego politik yang tidak disokong oleh kekuatan dalam perjuangan atau peruntukan Perlembagaan negara.

Nik Abdul Aziz berkata, beliau menyifatkan perjuangan sesuatu parti terhadap satu bangsa tanpa mementingkan agama boleh membawa kepada satu kesan yang tidak sihat dan tidak berkekalan.

"Sebab itu saya masuk parti Islam, yang memperjuangkan agama kerana ianya tidak akan kehabisan.

"Matlamat perjuangannya sentiasa ada iaitu demi agama tanpa mengira kepentingan bangsa pun.

"Saya tidak duduk dalam politik yang gunakan Melayu, tetapi saya duduk dalam gerakan Islam," katanya.- Bernama