Jumaat, 21 November 2008

Ketua PR lancar kempen mansuh ISA , disusuli Bilik Sulit untuk program pertama siri kempen

Dungun, 21 November - Ketua Pakatan Rakyat (PR), Dato' Seri Anwar Ibrahim akan melancarkan kempen mansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Ahad ini.

Majlis pelancaran tersebut akan diadakan di Dataran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Pandan Indah bermula jam 9 malam.

Kempen tersebut adalah anjuran Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dan Pas bagi mendesak kerajaan memansuhkan akta tersebut serta membebaskan semua tahanan ISA tanpa syarat atau bicara mereka di mahkamah.

Acara kemuncaknya adalah perhimpunan besar-besaran di ibu negara Mac tahun depan.

Menurut Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh, selain Penasihat itu, pemimpin parti anggota PR yang lain juga akan berucap di majlis tersebut.

Mereka adalah Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Turut dijemput berucap di majlis pelancaran tersebut ialah Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu dan Ketua Dewan Pemuda PAS pusat, Salahuddin Ayub.

Jelas Syed Ibrahim, beliau juga akan turut berucap di majlis tersebut.

Beliau menjangka kira-kira 5,000 akan menghadiri majlis pelancaran tersebut sebagai tanda sokongan mereka terhadap kempen mansuhkan ISA.

Katanya, selepas majlis pelancarannya Ahad ini, GMI akan mengadakan siri program menjelang Mac depan.

Program pertama siri kempen tersebut berupa persembahan teater bertajuk Bilik Sulit arahan pengenali blog Tukar Tiub, Hishamuddin Rais.

Teater tersebut dipentaskan semula dengan versi yang terbaru dengan pelakon berbakat yang makin meningkat sekarang ini.

Kali terakhir Bilik Sulit dipentaskan ialah pada tahun 2005.

Syed Ibrahim berkata tarikh persembahan tersebut ialah pada 10 Disember depan tetapi tempatnya belum diputuskan lagi. - Malaysiakini

Kickdefella disambung jaminan polis kali kedua

Petaling Jaya - Penulis blog Kickdefella, Syed Azidi Syed Abdul Aziz yang ditahan mengikut Akta Hasutan, disambung sebulan lagi jaminan polis terhadapnya hingga penghujung tahun ini.

Beliau sebelum ini membuat cadangan di blognya supaya bendera Malaysia dikibarkan secara terbalik ketika menyambut ulang tahun kemerdekaan negara sebagai tanda protes.

Lanjutan jaminan polis itu adalah yang kedua selepas beliau dibebaskan pada 20 September lalu.

Syed Azidi, dimaklumkan mengenai perkara tersebut ketika hadir di Bahagian Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Aman kira-kira tengah hari tadi.

"Saya hadir hari ini bagi mendapatkan perkembangan mengenai kes saya.

"Bagaimanapun pegawai penyiasat yang menguruskan kes saya sebelum ini telah ditukarkan.

"Jadi tadi pegawai penyiasat DSP Mahfuz Abdul Majid memaklumkan bahawa jaminan terhadap saya disambung sebulan lagi," katanya.

Beliau perlu hadir untuk melapor diri pada 21 Disember depan.

Bagaimanapun, Syed Azidi yang hadir bersama keluarga yakin bahawa tiada kes terhadapnya berikutan perkembangan semasa.

Pada 17 Oktober lalu, beliau hadir di jabatan yang sama namun dimaklumkan bahawa jaminan polis disambung sehingga hari ini.

Syed Azidi ditahan di rumahnya di Demit, Kota Bharu, Kelantan pada 17 September lalu dan ditahan reman empat hari tiga malam di Bukit Aman. - mstar

Ketua PR fail usul minta bahas isu FDI di Dewan Rakyat

oleh Syukree Hussain

Petaling Jaya, 21 November - Ketua Pakatan Rakyat (PR), Dato' Seri Anwar Ibrahim memfailkan usul bagi menangguhkan persidangan Dewan Rakyat untuk membincangkan mengenai laporan terbaru 'United Nations Conference on Trade and Development World Investment Report 2008' mengenai pengaliran keluar pelaburan langsung asing (FDI).

Usul tersebut telah dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin MUlia pada petang Rabu lalu.

"Dalam laporan terbaru tersebut, didapati Malaysia walaupun meningkat kemasukan FDI kepada RM29 billion untuk tahun 2007 berbanding RM21 billion pada tahun 2006.

"Namun pengaliran keluar FDI secara besar-besaran mencecah RM38 billion pada tahun 2007 menyebabkan negara mengalami aliran bersih FDI yang negatif sebanyak RM9 billion.

"Usul tersebut perlu dibahas segera kerana ianya menyentuh kepentingan umum dan negara ini," kata Penasihat PKR dalam kenyataan yang disiarkan melalui laman blognya.

Ujar Ahli Parlimen Permatang Pauh itu lagi, fenomena pengaliran keluar FDI secara besar-besaran ini berlaku sejak 2005.

Justeru, katanya, jika berterusan ia akan mengakibatkan negara terus mengalami penguncupan ekonomi, kemerosotan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), pengangguran dan pengurangan peluang pekerjaan.

Anwar menjelaskan bahawa situasi tersebut akan lebih buruk dalam keadaan negara berhadapan dengan krisis kewangan global.

Bagaimanapun jawapan kepada usul tersebut hanya akan diketahui pada Isnin depan masa ada diterima atau sebaliknya. - Malaysia Today

Tabur fitnah,kelirukan rakyat adalah kerja media arus perdana

Dungun, 21 November - Ketua Pakatan Rakyat(PR), Dato' Seri Anwar Ibrahim mengecam konspirasi media arus perdana yang bais kepada Umno/BN kerana bertungkus lumus untuk menjatuhkan kerajaan negeri PR dengan menabur fitnah, adu-domba dan memainkan isu-isu sensitif bagi mengelirukan rakyat.

Selain untuk mencetuskan kemarahan rakyat, tindakan media itu juga bertujuan untuk menjatuhkan reputasi lima kerajaan negeri yang dipimpin PR.

Perkara ini didedahkan pada Majlis Makan Malam dan Bengkel Mini Pakatan Rakyat yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di Ampang Selasa lepas.

Penasihat PKR itu menyifatkan media arus perdana bertindak 'kasar' dengan melaporkan isu-isu sensitif yang boleh mencetuskan perbalahan kaum dan agama seperti yang berlaku ke atas exco Selangor, Teresa Kok dan Ronnie Liu serta pengendali laman web Malaysia today, Raja Petra Kamaruddin.

Sementara itu, Presiden PAS Dato Seri Haji Abdul Hadi Awang dalam penegasannya, bimbang peranan yang dimainkan oleh media arus perdana boleh mengancam kestabilan dan kemuafakatan kompenan parti dalam PR sekiranya perkara ini tidak dapat dibendung dengan segera.

Kata beliau, peri pentingnya media telah dibuktikan oleh MCA dengan mengambil alih dua buah akhbar utama berbahasa Cina, Nyangyang Siang Pau dan Sin Chew Daily selepas pilihan raya kecil Lunas bagi menyekat sokongan orang-orang Cina terhadap parti alternatif.


Justeru itu, majlis presiden PR mengingatkan rakyat agar tidak terpedaya dengan laporan-laporan berniat 'jahat' yang disiarkan oleh media cetak dan elektronik yang dikuasai Umno/BN.

Pada majlis itu, hampir semua ahli-ahli parlimen PR hadir bersama beberapa pemimpin tertinggi PAS, KeADILan dan DAP.

Majlis seumpana itu akan diadakan setiap selasa di tempat yang sama setiap minggu. - Harakah

Pilihlah pimpinan yang baik - Ustaz Saiful

Dungun, 21 November - Bekas calon pilihan raya umum 12, Ustaz Saiful Bahri, dalam khutbahnya hari ini menekankan soal memilih pimpinan.

"Jika kita boleh memilih Imam yang terbaik dalam soal sembahyang jemaah, mengapa kita tidak mengamalkan apa yang diajar oleh Islam ini dalam memilih kepimpinan negara," katanya dalam khutbah Jumaat yang disampaikan di Masjid Kampung Pulau Serai di sini.

Jelasnya, memilih pemimpin yang baik itu adalah tanggungjawab setiap umat Islam supaya mampu memilih pemimpin yang mampu memimpin orang yang bertakwa.

Pihak Seruan Keadilan Online akan cuba mendapatkan pandangan Ustaz Saiful yang bertanding di Dun Paka dalam pilihan raya lalu, dalam isu fatwa yang dikeluarkan terhadap pengkid atau 'tomboy'.

Tahanan ISA difadhukan sembahyang Jumaat

oleh Syukree Hussain

Dungun, 21 November - Tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang kini berjumlah lebih 60 orang berhak untuk mengamalkan anutan agama masing-masing termasuk solat Jumaat bagi mereka yang beragama Islam.

Menjawab kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato' Seri Dr Zahid Hamidi, pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin (RPK) berkata, Zahid sengaja berdolak dalih dalam soal ini.

"Tahanan ISA dah lapan tahun 'bergaduh' dengan kerajaan dalam isu sembahyang Jumaat tapi kerajaan termasuk Mufti Perak masih tidak beri kebenaran sembahyang Jumaat walaupun sesama sendiri dalam kem tahanan," kata RPK yang dihubungi hari ini.

Jelasnya, tahanan ISA ada lebih 60, banduan lain lebih 200 dan Warder lebih 300, maka sudah melebihi dari 40 walaupun ditolak dengan mereka yang bukan Islam.

Semalam, Zahid dalam kenyataannya, membidas RPK yang mempertikaikan prosedur penahanan ISA yang tidak membenarkan tahanan beragama Islam melakukan solat.

Ahli Parlimen Bagan Datoh itu berkata, solat Jumaat sememang tidak diizinkan bagi tahanan ISA dan janganlah sesiapa memberi alasan untuk mempertikaikannya.

Sementara itu, Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid mengeluarkan kenyataan bahawa solat Jumaat tetap wajib ke atas tahanan ISA.

Dalam pada itu, RPK turut mencabar Zahid yang menuduh Malaysia Today menghina Islam, supaya menunjukkan bahagian atau artikel mana yang disiarkan dalam web itu yang dikatakan menghina Islam.

"Sesiapa sahaja boleh membuat tuduhan tanpa sebarang bukti."

"Kalau betul ada dah lama mereka dakwa saya di mahkamah."

"Tidak perlu ditahan di bawah ISA selama hampir dua bulan," ujarnya.

Untuk ingatan, dua bulan dahulu RPK ditahan di bawah ISA ketika umat Islam bersiap sedia untuk menunaikan solat Jumaat.

RPK akan hadir ke Mahkamah Jalan Duta Isnin ini bagi menghadapi pendakwaan di bawah tuduhan 'criminal defamation' bersabit Akuan Bersumpah yang beliau tandatangani pada April 2008. - Malaysia Today

Anwar 'berkampung' sehari di T'ganu esok

Kuala Terengganu, 21 Nov - Penasihat PKR, Dato' Seri Anwar Ibrahim akan berkunjung ke Terengganu esok bagi rasmikan majlis penutup Seminar Harapan Baru Malaysia.

Kemudian, Ketua Pakatan Rakyat itu akan merasmikan Pejabat Badan Perhubungan PKR Terengganu di Wisma Cemerlang, Jalan Sultan Zainal Abidin, Ladang.

Menurut Setiausaha PKR Terengganu, Wan Rahim Wan Hamzah,Seminar Seharum itu diadakan secara tertutup khusus bagi para perwakilan parti di seluruh kawasan di negeri ini.

"Kita adakan seminar ini untuk mendapat suntikan semangat baru daripada pimpinan tertinggi parti sebagai persiapan menghadapai Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 akan datang.

"Kita sedar selama ini PKR Terengganu masih kekurangan tenaga dan melalui program ini diharapkan dapat mengumpul kekuatan dan tenaga baru," ujarnya.

Katanya, Anwar akan merasmikan pejabat baru Badan Perhubungan KeADILan Terengganu yang akan menjadi induk pergerakan parti itu.

Beliau yang juga bekas calon PKR Dun Permaisuri pada PRU Mac lalu menyeru agar rakyat di negeri ini berfikiran terbuka serta tidak terlalu fanatik dengan Umno dan kerajaan BN.

Ujarnya, rakyat wajar berfikiran merdeka yang berhak mendengar dan melihat perkembangan semua parti secara sihat.

Wan Rahim berkata rakyat boleh melihat serta mendengar sendiri ucapan dan pandangan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu yang akan berucap pada majlis Ceramah Perdana tersebut.

Jelasnya lagi, dua pemimpin besar Pakatan Rakyat termasuk Presiden Pas, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan Pesuruhjaya Pas Terengganu, Dato' Mustafa Ali turut akan menyampaikan amanat kepada rakyat di negeri ini. - harakah

Semakan kes fitnah Saiful, Mahkamah Tinggi tangguh lebih 2 bulan lagi

Kuala Lumpur, 21 November - Mahkamah Tinggi semalam memutuskan untuk mendengar hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan pada 5 dan 6 Februari depan.

Kes tersebut berhubung permohonan pendakwa raya untuk semakan bagi membatalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang tidak membenarkan kes fitnah Saiful terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Keputusan itu diputuskan oleh Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Pihak pembelaan diwakili Sulaiman Abdullah memohon supaya Ketua Pakatan Rakyat itu dikecualikan daripada menghadiri sesi berkenaan kerana hanya melibatkan prosedur undang-undang.

Mahkamah uang mula bersidang jam 9.12 pagi membenarkan permohonan tersebut tanpa bantahan pihak pendakwa.

Hakim menetapkan keputusan mendengar semakan tersebut selepas dua bulan lebih dengan alasan kesukaran mencari tarikh yang sesuai kerana jadualnya yang padat sehingga penghujung tahun ini.

Penasihat PKR itu ketika ditemui di luar mahkamah berkata, beliau menerima keputusab tersebut dengan terbuka.

"Saya mahu kes ini diselesaikan dengan cepat, tidak mahu tangguh-tangguh.

"Jadi strategi mereka berjaya sebab suka tangguh-tangguh," katanya ringkas.

Minggu lalu, Hakim Mahkamah Sesyen S. M. Komathy Suppiah memerintahkan kedua-dua pihak mendapatkan arahan dan perintah daripada Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah berhubung permohonan pendakwa raya bagi semakan serta penangguhan semua prosiding sementara menunggu keputusan Mahkamah Tinggi. - mstar