Isnin, 17 November 2008

Jabatan AG patut beri alasan konkrit bebaskan Razak Baginda - MP Puchong

Parlimen, 17 November - Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo hari ini meminta Jabatan Peguam Negara memberikan alasan yang konkrit berhubung keputusan mereka tidak akan memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan Abdul Razak Baginda.

Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia itu, pada 31 Oktober lalu dibebaskan daripada tuduhan bersubahat membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shariibuu.

Gobind berkata, sepanjang pengetahuannya, ketika Jabatan Peguam Negara mendapat fail kes itu, mereka dikatakan mempunyai cukup bukti untuk mendakwa Razak yang akhirnya menyebabkan Razak ditahan reman sepanjang perbicaraan.

"Apabila tiba masa pembebasan pada masa ini, tiada alasan konkrit yang diberikan, tiada yang berubah.

"Jika tiada yang berubah, kami akan tanya kenapa Jabatan Peguam Negara membuat keputusan yang sebaliknya iaitu rayuan tersebut tidak perlu (dilakukan).

"Ini penting kerana kes ini bukan sahaja mendapat perhatian dalam negara malah daripada masyarakat antarabangsa," katanya semasa sidang media di lobi Parlimen, di sini hari ini.

Jumaat lalu, Timbalan Pendakwa Raya, Tun Abdul Majid Tun Hamzah yang mengetuai barisan pendakwaan kes pembunuhan Altantuya berkata, pihaknya tidak akan memfailkan rayuan atas alasan Hakim Mohd Zaki Md Yasin yang memutuskan kes berkenaan sudah membuat penemuan fakta ketika membebaskan Razak.

Razak merupakan tertuduh ketiga dalam kes pembunuhan Altantuya dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam setelah Hakim Mohd Zaki mendapati tiada kes prima facie bagi Razak untuk menjawab tuduhan.

Bagaimanapun, dua lagi terduduh iaitu Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar, daripada Unit Tindakan Khas (UTK) diarah supaya membela diri atas tuduhan yang dihadapi.

Mereka akan memberikan keterangan secara bersumpah untuk membela diri mereka mulai 15 Januari tahun depan apabila kes disebut semula. - mstar

Ketiadaan PM, TPM dalam negara dipertikai

Parlimen, 17 November - Penasihat DAP, Lim Kit Siang hari ini mempertikaikan ketiadaan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Badawi dan timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak di dalam negara pada dua hari yang sama.

Abdullah dan Najib tidak berada dalam negara untuk dua hari dalam minggu ini kerana menghadiri lawatan rasmi.

Lim berkata, mengikut kedudukan peraturan sejak 30 tahun lalu, Perdana Menteri dan timbalannya tidak boleh meninggalkan negara pada masa yang sama.

Beliau berkata demikian berikutan Abdullah kini berada di Uzbekistan untuk lawatan rasmi empat hari yang turut disertai oleh dua Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dan Senator Tan Sri Amirsham Abdul Aziz; Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Shafie Apdal dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Abdullah hanya akan kembali bertugas pada Jumaat ini.

Sementara itu, Najib pula akan ke Lima, Peru untuk menghadiri Mesyuarat Pemimpin-pemimpin Ekonomi APEC ke-16 esok dan seterusnya ke New York dan dilaporkan hanya akan pulang pada awal bulan depan.

Lim berkata, ini bermakna, pada Rabu dan Khamis ini, kedua-dua mereka tidak ada di dalam negara.

Justeru beliau mempersoalkan siapa yang akan menjadi pemangku Perdana Menteri pada dua hari tersebut.

“Tidak boleh Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kini mendahului dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden Umno kerana beliau juga bersama dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar akan ke luar negara bersama (Datuk Seri) Najib esok.

“Bolehkah menteri yang paling senior di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Bernard Dompok atau Presiden MCA yang baru dipilih, Datuk Seri Ong Tee Keat?,” katanya kepada media di luar Parlimen, hari ini, di sini.

Lim berkata, ini merupakan satu kritikan terhadap Ahli Parlimen Umno yang tidak menerima kedudukan yang termaktub dalam perlembagaan bahawa jawatan Perdana Menteri terbuka kepada semua warganegara Malaysia tidak mengira bangsa, agama atau wilayah.

Dalam perkembangan yang sama, Lim juga meminta Najib menyerahkan isu ‘ketidakpastian’ peruntukan tambahan RM7 bilion dalam Bajet 2009 kepada Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop bagi mendapatkan kelulusan Parlimen sepanjang ketiadaannya. - mstar

Sekolah agama teknik dan vokasional akan ditubuhkan - Kerajaan Selangor

Shah Alam, 17 November - Kerajaan negeri Selangor bercadang untuk menubuhkan sekolah agama teknik dan vokasional di negeri itu tidak lama lagi.

Perkara itu diberitahu oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini, di sini.

Katanya, sekolah agama teknik dan vokasional akan ditubuhkan segera bagi menampung pelajar untuk mendapatkan pendidikan agama secara formal sehingga tingkatan lima.

Abdul Khalid memberitahu bahawa ia berikutan terdapat banyak permohonan untuk memasuki sekolah agama sedangkan tempatnya terhad.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan perjumpaan khas guru-kuru kelas al-Quran dan fardu ain (Kafa) negeri Selangor 2008 di Shah Alam pagi tadi.

Hadir sama ialah Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu ketika bercakap dalam sidang akhbar kemudiannya, beliau berkata, kerajaan negeri akan membincangkan cadangan itu dengan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan pihak swasta.

Menurutnya, rangka tindakan cadangan tersebut dijangka dapat disiapkan enam bulan lagi.

Sehubungan itu Abdul Khalid berharap, kerajaan pusat dapat menyediakan pembiayaan memandangkan program itu memberi kebaikan kepada negara secara keseluruhannya. - Malaysiakini

PR pertahan Islam dan hak istimewa Melayu - Anwar

Shah Alam, 17 November - Pakatan Rakyat (PR) menerima kedudukan hak istimewa orang Melayu, bahasa Melayu dan agama Islam sebagai agama persekutuan sepertimana terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perkara itu ditegaskan oleh Ketua PR Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Menurut beliau, isu berhubung perkara itu tidak perlu dirisaukan lagi kerana persefahaman mengenainya telah dibuat antara ketiga-tiga parti anggota Pakatan - PKR, DAP dan PAS.

Malah, tegas Anwar lagi, kenyataan bahawa kesemua pihak telah bersetuju mengenai perkara itu, telah dikeluarkan pada 8 September lalu.

Kenyataan tersebut atara lain menegaskan bahawa PR sekali lagi mengulangi pendirian menjunjung prinsip-prinsip dasar yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ini termasuk soal-soal dasar seperti kedudukan Islam sebagai agama persekutuan dan menjaminkan kebebasan mengamalkan agama lain, kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, dan mempertahan hak bahawa ibunda, kedudukan kedaulatan dan institusi Raja-raja Melayu.

Ia termasuk kedudukan hak istimewa orang Melayu dan bumiputera, serta hak-hak semua kuam yang telah dijamin oleh Perlembagaan.

Menurut kenyataan berkenaan lagi, berdasarkan prinsip-prinsip perlembagaan tersebut, PR menolak sekeras-kerasnya pendekatan politik perkauman sempit.

Oleh itu, tegas Penasihat PRK itu, tidak timbul lagi sebarang salahfaham mengenai isu yang membabitkan hak istimewa orang Melayu, bahasa Melayu dan agama Islam.

Anwar menegaskan demikian dalam ucapannya di majlis perjumpaan khas dengan guru KAFA di Selangor di Shah Alam hari ini.

Hadir sama ialah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Exco S'gor bebas dengan jaminan RM 3,000

[Kemaskini]

oleh Syukree Hussain

Petaling Jaya, 17 November - Exco Selangor Ronnie Liu telah dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya dengan jaminan bernilai RM 3,000 oleh seorang penjamin.

Adik beliau, John Liu yang berkerja sebagai Pengurus Insuran telah membayar jaminan tersebut.

Katanya, beliau berharap Ronnie akan menang kes ini.

Pada Rabu lalu, Ronnie telah ditahan oleh pihak polis ketika ingin menghadiri mesyuarat Exco di SUK dan kemudian dibawa ke Balai Polis Puchong.

Beliau ditahan berhubung laporan polis yang mendakwa beliau menghalang tugas pegawai penguatkuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dalam satu operasi mencegah maksiat di sebuah hotel di Puchong tahun lalu.

Beliau yang diwakili oleh peguamnya Gobind Singh Deo, akan dibicara semula di mahkamah yang sama pada 10 Februari tahun depan.

"Sekembali kita ke mahkamah, kita akan membuat permohonan untuk membatalkan tuduhan ke atas Ronnie," kata Gobind selepas proses pembayaran jaminan selesai.

Beliau juga turut mempertikai kes tersebut mengambil masa yang sangat lama untuk dibawa ke mahkahmah.

"Kenapa baru sekarang? Tetapi kita tidak takut untuk mengemukakan hujah di mahkamah," ujahnya.

Sementara itu, Raja Petra Kamaruddin yang menemui Ronnie di luar mahkamah, berkata, beliau sanggup mengutip derma RM1 seorang daripada penduduk Pandamaran untuk membayar jaminan terhadap Ronnie.

Tidak Gentar, 200 terus berhimpun bantah ISA

oleh Syukree Husssain

Petaling Jaya, 17 November - Lebih 200 rakyat Malaysia berbilang kaum meneruskan himpunan aman supaya ISA dimansuhkan malam tadi, di sini, walaupun 24 orang telah ditahan minggu lalu.

Menurut pihak penganjur, Ricard Yeoh, beliau telah memohon permit polis pada Jumaat lalu supaya peserta boleh berhimpun secara aman di tempat parkir di Dewan Sivik Petaling Jaya.

Walaupun diluluskan, tetapi 12 syarat dikenakan kepada pihak penganjurkan dan kebanyakannya tidak munasabah.

Antaranya ialah peserta tidak boleh membakar lilin dan memakai pakaian yang menunjukkan sokongan terhadap kempen memansuhkan ISA.

Walau bagaimanapun, syarat-syarat tersebut tidak dipatuhi dan tepat jam 8.30 malam lilin mula dibakar serta lebih separuh daripada peserta perhimpunan memakai pakaian anti ISA.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok, Ahli Parlimen Charles Santiago, Ahli Parlimen Kelana Jaya Gwo-Burne Loh, bekas tahanan ISA Raja Petra Kamaruddin, bekas tahanan OSA Natalie Tan dan pengamal undang-undang Haris Ibrahim.

Dalam ucapannya, Teresa memberitahu bahawa di Malaysia, kerajaan negeri Selangor merupakan kerajaan negeri pertama yang mengusalkan di Dewan Undangan Negeri supaya ISA dimansuhkan.

"Kita memohon permit untuk perhimpunan hari ini supaya tiada seorang peserta pun akan ditangkap," jelasnya kenapa permit polis dipohon.

Beliau juga memberitahu bahawa isu ISA ini akan dibahaskan di Parlimen ketika masanya untuk perbahasan bajet 2009 bagi Kementerian Dalam Negeri tidak lama lagi.

Perhimpunan tersebut berakhir lebih kurang jam 9.30 malam dengan nyanyi lagu Negaraku dan tiada sebarang insiden berlaku.

Pihak penganjur akan meneruskan perhimpunan sedemikian pada Ahad seterusnya, walaubagaimana pun tempat masih belum dibincangkan.