Ahad, 7 Disember 2008

Ronnie mahu Mat Sabu kekal calon KT

oleh Syukree Hussain

Dungun, 7 Disember (MalaysiaToday) - Exco Selangor Ronnie Liu berharap Naib Presiden Pas Mohamad Sabu terus dipilih sebagai calon Pas untuk pilihan raya kecil Kuala Terengganu.

Beliau berkata demikian, ketika ditanya berkenaan adakah soal calon tempatan atau tidak mempengaruhi sentimen pengundi di Kuala Terengganu.

Pilihan raya kecil Kuala Terengganu terpaksa diadakan selepas penyandangnya Timbalan Menteri Pelajaran, Allahyarham Datuk Razali Ismail meninggal dunia pada 28 November lalu.

Jumaat lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan 6 Januari depan sebagai tarikh penamaan calon dan 17 Januari tarikh membuang undi untuk P0 itu.

"Tidak timbul soal calon tempatan atau luar, yang penting seorang itu boleh membuat kerja.

"Sentiasa turun padang dan sedia berkhidmat dan berkorban untuk mereka yang diwakilinya," ujar Ronnie yang dihubungi oleh Malaysia Today hari ini.

Menurut beliau, jika seseorang itu calon tempatan tetapi tinggal di Kuala Lumpur atau tempat lain sehingga tiada masa untuk kawasannya, tidak berguna juga.

"Pengundi sekarang sudah bijak memilih pemimpin, sudah tiada sentimen mereka memilih berdasarkan calon tempatan atau luar," jelas Adun Pandamaran itu.

Sementara itu, ketika ditanya berkenaan sumbangan DAP untuk Kuala Terengganu, katanya, walaupun DAP hanya mempunyai beberapa cawangan sahaja di Terengganu, tetapi

DAP akan turun padang membantu Pakatan Rakyat merampas kerusi Parlimen itu.

"Kita akan menumpukan kepada pengundi cina terutama dalam Dun Bandar yang satu-satunya dimenangi BN dalam pilihan raya umum lalu," tegasnya.

Pada PRU 12 menyaksikan Parlimen Kuala Terengganu menawarkan pertandingan tiga penjuru dimana Mohamad tewas majoriti kalah kurang 600 undi sahaja.

Selain Razali, seorang calon bebas Maimum Yusuf turut mencuba nasib bertanding di kerusi tersebut, malangnya hilang wang pertaruhan.

Pada pilihan raya umum 8 Mac lalu, Maimun yang hanya mendapat 685 undi tewas kepada calon BN, Datuk Razali Ismail yang memperoleh 32,562 undi manakala caIon Pas, Mohamad Sabu pula mendapat 31,934 undi.