Isnin, 15 Disember 2008

Sudah 8 jam pengayuh ditahan

oleh Syukree Hussaih

Selayang, 15 Disember - Sehingga pukul 2.00 pagi tadi, sudah lebih lapan jam peserta 'Rakyat Pengayuh Perubahan' ditahan di Balai Polis Rawang di sini.

Walaupun hujan dan kehadiran lebih 100 anggota FRU, mereka yang memprotes penahanan tersebut terus berdemostrasi depan balai polis berkenaan.

Pihak FRU yang hanya sempat memberi dua kali amaran bersurai tidak dapat membuat amaran terakhir kerana Ahli Parlimen Selayang William Leong memberi tekanan cukup hebat.

Sehingga berita ini ditulis, William masih lagi berada di balai bagi mendesak semua tahanan dibebaskan tanpa syarat.

Turut hadir Ahli Parlimen Batu Tian Chua dan Ahli Parlimen Kapar Manikavasagam bagi memberi semangat kepada semua tahanan dan mereka yang hadir untuk membantah.

[Berita terdahulu]

Tahan pengayuh, 300 demo depan balai polis Rawang

Lebih 300 orang berkumpul di depan balai polis Rawang di sini bagi memberi sokongan kepada lebih 70 orang peserta berbasikal ajuran Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) sejak 8.00 malam tadi.

Sehingga jam 9.15 malam, demostrasi bantahan diteruskan dengan berbagai slogan seperti 'Bebaskan Tahanan', 'Reformasi' dan 'Makkal Sakti'.

Peserta 'Rakyat Pengayuh Perubahan' yang berbasikal daripada Utara tanah air sejak seminggu lalu, ditahan oleh pihak polis ketika tiba di Rawang pada jam 5.00 petang.

Ketika ini kesemua peserta sedang disoal siasat oleh pihak polis dan belum tahu bila mereka akan dibebaskan.

Turut bersama tahanan Adun Rawang, Gan Pei Nei.

Beberapa Ahli PBT Rawang turut hadir memberi sokongan.

[Berita akan dikemaskini]

Ahli majlis PBT Pas Selangor bolot projek?

oleh Syukree Hussain

Kuala Lumpur, 15 Disember (MToday) - Kelab Penyokong Adun Pakatan Rakyat Selangor (BBC) mendapat beberapa laporan daripada orang ramai berkenaan terdapat Ahli Majlis PBT yang diwakili oleh pimpinan Pas Selangor, hanya sibuk melobi untuk mendapatkan projek perniagaan.

Perkara ini disahkan oleh bekas Ketua Penerangan Pas Selangor Saari Sungib ketika dihubungi oleh Malaysia Today pada Jumaat lalu.

Menurut beliau, pihak BBC telah meminta senarai nama mereka yang terlibat sebelum sebarang siasatan dan tindakan diambil.

"Kita ada mendapat beberapa rungutan dan laporan daripada ahli akar umbi berkenaan adanya unsur menyelewengan kuasa dalm memperolehi tender PBT di Selangor," jelas Saari yang merupakan Adun Hulu Kelang.

Walau bagaimanapun, katanya, sebelum mendapat senarai nama mereka yang terlibat, beliau tidak mahu sebarang spekulasi dibuat.

"Jika perkara ini benar-benar wujud, saya begitu kecewa kerana seharusnya ahli PBT di kalangan ahli Pas yang sepatutnya menunjuk tauladan yang baik," ujarnya.

Pada pilihan raya umum lepas, Pas memenangi lapan kerusi Dun di Selangor dimana tiga daripada Adunnya dilantik menjadi Exco Kerajaan negeri Pakatan Rakyat.

Sementara itu, mengulas berkenaan memecatkan beliau daripada jawatan Ketua Penerangan Pas negeri, katanya, itu merupakan proses biasa.

"Jawatan yang dilantik, kebiasaanya boleh ditamat selepas satu penggal berlalu," tambah Saari yang pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Katanya lagi, beliau dipecat kerana tidak mempunyai kesefahaman dengan Pesuruhjaya Pas Selangor Datuk Hassan Ali.

Namun, beliau enggan mengulas lanjut tentang perkara tersebut.

Beliau turut melahirkan rasa kebimbangan dengan tindakan yang dilaksanakan oleh Hassan yang dilihat tidak merealisasi slogan 'Pas for All'.

"Seharusnya, Datuk Hassan perlu lebih teliti dan berhati-hati dalam setiap tindakan yang dilaksana oleh beliau supaya isu-isu berbangkit tidak timbul terutama dalam soal kaum dan agama," kata Sairi lagi.

Selain Saari, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad turut dipecat daripada Timbalan Pesuruhjaya 2 Pas Selangor.

Jawatan itu masing-masing digantikan oleh Roslan Shahir Mohd Shahir sebagai Ketua Penerangan dan Dr Che Rosli Che Mat sebagai Timbalan Pesuruhjaya 2.

Roslan merupakan Setiausaha Politik kepada Presiden Pas Datuk Seri Haji Abdul Haji Awang dan Che Rosli adalah Ahli Parlimen Hulu Langat.