Jumaat, 14 November 2008

Bila kes Anwar, ada sahaja yang tidak kena - Anwar

oleh Syukree Hussain

KUALA LUMPUR, 14 November - Penasihat PKR Dato' Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan tindakan pihak pendakwaraya yang tidak mahu menyerahkan dokumen berkenaan kes fitnah yang dihadapinya.

"Bila kes melibatkan Anwar, prosedur dan peraturan berubah.

"Nampak lain, ini belum pernah berlaku dalam sejarah," jelasnya ketika keluar dari kamar Mahkamah Seksyen Jalan Duta tengah hari tadi.

Turut hadir menemani beliau ialah isterinya, Datin Seri Wan Azizah Ismail dan dua anaknya, Nurul Iman dan Nurul Hana.

Beliau juga menegaskan jika mereka telah melakukan kesalahan 10 tahun lalu, mengaku salah dan memohon maaf.

"Saya tidak mahu duit seperti apa yang berlaku terhadap enam hakim yang dipecat," tegasnya yang juga merupakan Ketua Pakatan Rakyat (PR).

Sementara itu, peguam beliau Sivarasa Rasiah berkata bahawa kes rayuan pendakwaan untuk memindahkan kes tersebut ke mahkamah tinggi, akan didengar pada 20 dan 21 November ini di hadapan Hakim Dato' Zabidi.

Namun, katanya, ketua peguam yang mewakili Anwar, Sulaiman Abdullah mempunyai kes lain pada hari yang sama, dan kemungkinan kes itu ditunda.

Pada minggu lepas, Hakim S M Komathy Suppiah telah membuat keputusan bahawa kes fitnah Saiful Bukhari Azlan terhadap Ahli Parlimen Permatang Pauh itu dikekalkan perbicaraannya di Mahkamah Seksyen.

Tiada ulasan: