Isnin, 17 November 2008

Jabatan AG patut beri alasan konkrit bebaskan Razak Baginda - MP Puchong

Parlimen, 17 November - Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo hari ini meminta Jabatan Peguam Negara memberikan alasan yang konkrit berhubung keputusan mereka tidak akan memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan Abdul Razak Baginda.

Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia itu, pada 31 Oktober lalu dibebaskan daripada tuduhan bersubahat membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shariibuu.

Gobind berkata, sepanjang pengetahuannya, ketika Jabatan Peguam Negara mendapat fail kes itu, mereka dikatakan mempunyai cukup bukti untuk mendakwa Razak yang akhirnya menyebabkan Razak ditahan reman sepanjang perbicaraan.

"Apabila tiba masa pembebasan pada masa ini, tiada alasan konkrit yang diberikan, tiada yang berubah.

"Jika tiada yang berubah, kami akan tanya kenapa Jabatan Peguam Negara membuat keputusan yang sebaliknya iaitu rayuan tersebut tidak perlu (dilakukan).

"Ini penting kerana kes ini bukan sahaja mendapat perhatian dalam negara malah daripada masyarakat antarabangsa," katanya semasa sidang media di lobi Parlimen, di sini hari ini.

Jumaat lalu, Timbalan Pendakwa Raya, Tun Abdul Majid Tun Hamzah yang mengetuai barisan pendakwaan kes pembunuhan Altantuya berkata, pihaknya tidak akan memfailkan rayuan atas alasan Hakim Mohd Zaki Md Yasin yang memutuskan kes berkenaan sudah membuat penemuan fakta ketika membebaskan Razak.

Razak merupakan tertuduh ketiga dalam kes pembunuhan Altantuya dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam setelah Hakim Mohd Zaki mendapati tiada kes prima facie bagi Razak untuk menjawab tuduhan.

Bagaimanapun, dua lagi terduduh iaitu Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar, daripada Unit Tindakan Khas (UTK) diarah supaya membela diri atas tuduhan yang dihadapi.

Mereka akan memberikan keterangan secara bersumpah untuk membela diri mereka mulai 15 Januari tahun depan apabila kes disebut semula. - mstar

Tiada ulasan: