Isnin, 17 November 2008

Tidak Gentar, 200 terus berhimpun bantah ISA

oleh Syukree Husssain

Petaling Jaya, 17 November - Lebih 200 rakyat Malaysia berbilang kaum meneruskan himpunan aman supaya ISA dimansuhkan malam tadi, di sini, walaupun 24 orang telah ditahan minggu lalu.

Menurut pihak penganjur, Ricard Yeoh, beliau telah memohon permit polis pada Jumaat lalu supaya peserta boleh berhimpun secara aman di tempat parkir di Dewan Sivik Petaling Jaya.

Walaupun diluluskan, tetapi 12 syarat dikenakan kepada pihak penganjurkan dan kebanyakannya tidak munasabah.

Antaranya ialah peserta tidak boleh membakar lilin dan memakai pakaian yang menunjukkan sokongan terhadap kempen memansuhkan ISA.

Walau bagaimanapun, syarat-syarat tersebut tidak dipatuhi dan tepat jam 8.30 malam lilin mula dibakar serta lebih separuh daripada peserta perhimpunan memakai pakaian anti ISA.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok, Ahli Parlimen Charles Santiago, Ahli Parlimen Kelana Jaya Gwo-Burne Loh, bekas tahanan ISA Raja Petra Kamaruddin, bekas tahanan OSA Natalie Tan dan pengamal undang-undang Haris Ibrahim.

Dalam ucapannya, Teresa memberitahu bahawa di Malaysia, kerajaan negeri Selangor merupakan kerajaan negeri pertama yang mengusalkan di Dewan Undangan Negeri supaya ISA dimansuhkan.

"Kita memohon permit untuk perhimpunan hari ini supaya tiada seorang peserta pun akan ditangkap," jelasnya kenapa permit polis dipohon.

Beliau juga memberitahu bahawa isu ISA ini akan dibahaskan di Parlimen ketika masanya untuk perbahasan bajet 2009 bagi Kementerian Dalam Negeri tidak lama lagi.

Perhimpunan tersebut berakhir lebih kurang jam 9.30 malam dengan nyanyi lagu Negaraku dan tiada sebarang insiden berlaku.

Pihak penganjur akan meneruskan perhimpunan sedemikian pada Ahad seterusnya, walaubagaimana pun tempat masih belum dibincangkan.

Tiada ulasan: