Ahad, 30 November 2008

PR Kecil K T'ganu: Pas beri laluan kepada PKR?

oleh Syukree Hussain

Shah Alam, 29 November - Kematian mengejut Timbalan Menteri Pelajaran, Razali semalam, menyebabkan akan berlaku pilihanraya (PR) Kecil di Parlimen Kuala Terengganu dalam masa dua bulan daripada sekarang.

Pada PR Umum lalu, kerusi tersebut ditanding oleh Naib Presiden Pas Mohamad Sabu tiga penjuru dengan Umno dan bebas.

Beberapa pewakilan dan pemerhati untuk Kongres Nasional PKR 2008, menyuarakan hasrat supaya kerusi tersebut diberi kepada PKR.

Mereka berpendapat, calon tempatan perlu dipertengahkan kerana sentimen di Terengganu memerlukan suasana tersebut.

Antara calon yang mungkin akan ditonjolkan ialah bekas Ahli Parlimen Kemaman Datuk Abdul Rahman Yusof dan bekas calon Parlimen Kemaman pada PRU 12 lalu, Faris Musa.

Faris Musa dilihat sebagai calon yang sesuai kerana beliau merupakan anak tempatan Kuala Terengganu.

Sementara itu, Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Datuk Zahrain Mohamed Hashim, berpendapat anak tempatan yang berwibawa perlu dibawa ke Kuala Terengganu sebagai calon PR.

"Tidak kira parti mana yang bertanding, Pas atau PKR, yang penting calon itu ialah orang tempatan dan berwibawa," katanya ketika ditemui selepas Jamuan Makan Tengahari Kongres Nasional PKR kelima di sini, hari ini.

Menurut beliau, Abdul Rahman merupakan calon yang sesuai jika Pas memberi laluan kepada PKR untuk bertanding di situ.

"Datuk (Abdul) Rahman merupakan orang yang layak mewakili PKR kerana beliau mempunyai pengalaman yang luas dalam politik.

"Jika PR mengambil alih kerajaan persekutuan, beliau boleh dilantik sebagai salah seorang menteri," ujar Ahli Parlimen Bayan Baru.

Dalam pada itu, jika kerusi tersebut kekal ditanding oleh Pas, calon yang paling sesuai ialah Adun Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad.

Bagaimanapun, perkara tersebut akan dibincangkan oleh PR untuk menentukan siapa yang layak mewakili pakatan itu sebagai calon, demi strategi politik dan peluang kemenangan. - Malaysia Today

Tiada ulasan: