Isnin, 15 Disember 2008

Ahli majlis PBT Pas Selangor bolot projek?

oleh Syukree Hussain

Kuala Lumpur, 15 Disember (MToday) - Kelab Penyokong Adun Pakatan Rakyat Selangor (BBC) mendapat beberapa laporan daripada orang ramai berkenaan terdapat Ahli Majlis PBT yang diwakili oleh pimpinan Pas Selangor, hanya sibuk melobi untuk mendapatkan projek perniagaan.

Perkara ini disahkan oleh bekas Ketua Penerangan Pas Selangor Saari Sungib ketika dihubungi oleh Malaysia Today pada Jumaat lalu.

Menurut beliau, pihak BBC telah meminta senarai nama mereka yang terlibat sebelum sebarang siasatan dan tindakan diambil.

"Kita ada mendapat beberapa rungutan dan laporan daripada ahli akar umbi berkenaan adanya unsur menyelewengan kuasa dalm memperolehi tender PBT di Selangor," jelas Saari yang merupakan Adun Hulu Kelang.

Walau bagaimanapun, katanya, sebelum mendapat senarai nama mereka yang terlibat, beliau tidak mahu sebarang spekulasi dibuat.

"Jika perkara ini benar-benar wujud, saya begitu kecewa kerana seharusnya ahli PBT di kalangan ahli Pas yang sepatutnya menunjuk tauladan yang baik," ujarnya.

Pada pilihan raya umum lepas, Pas memenangi lapan kerusi Dun di Selangor dimana tiga daripada Adunnya dilantik menjadi Exco Kerajaan negeri Pakatan Rakyat.

Sementara itu, mengulas berkenaan memecatkan beliau daripada jawatan Ketua Penerangan Pas negeri, katanya, itu merupakan proses biasa.

"Jawatan yang dilantik, kebiasaanya boleh ditamat selepas satu penggal berlalu," tambah Saari yang pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Katanya lagi, beliau dipecat kerana tidak mempunyai kesefahaman dengan Pesuruhjaya Pas Selangor Datuk Hassan Ali.

Namun, beliau enggan mengulas lanjut tentang perkara tersebut.

Beliau turut melahirkan rasa kebimbangan dengan tindakan yang dilaksanakan oleh Hassan yang dilihat tidak merealisasi slogan 'Pas for All'.

"Seharusnya, Datuk Hassan perlu lebih teliti dan berhati-hati dalam setiap tindakan yang dilaksana oleh beliau supaya isu-isu berbangkit tidak timbul terutama dalam soal kaum dan agama," kata Sairi lagi.

Selain Saari, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad turut dipecat daripada Timbalan Pesuruhjaya 2 Pas Selangor.

Jawatan itu masing-masing digantikan oleh Roslan Shahir Mohd Shahir sebagai Ketua Penerangan dan Dr Che Rosli Che Mat sebagai Timbalan Pesuruhjaya 2.

Roslan merupakan Setiausaha Politik kepada Presiden Pas Datuk Seri Haji Abdul Haji Awang dan Che Rosli adalah Ahli Parlimen Hulu Langat.

Tiada ulasan: