Khamis, 27 November 2008

Adun Pas nafi 'paksa' MB Kelantan berundur

Kota Bharu, 27 November - Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Kelantan, Zulkifli Mamat menafikan wujudnya desakan daripada kalangan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pas supaya Menteri Besar, Tuan Guru Nik Abdul Nik Mat berundur dari jawatannya.

Malah Adun Pulai Chondong itu berkata, pihaknya mahukan Mursyidul Am Pas itu agar dipanjangkan umur supaya boleh mentadbir Kelantan lebih lama.

"Sepatutnya Tok Guru memerintah lebih lama lagi. Tiada pakatan untuk gesa tok guru berundur sama ada secara sulit atau tidak," katanya kepada pemberita selepas taklimat Homestay anjuran Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Kelantan di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Tuan Guru Nik Aziz yang 'tidak sabar' untuk melepaskan jawatan itu jika Adun Kelantan daripada Pas memintanya berbuat demikian Selasa lalu.

Sebelum ini, sebuah akhbar mingguan melaporkan bahawa beberapa wakil rakyat daripada parti itu mahu beliau meletak jawatan ,pada masa gemilang beliau, dan memberi laluan kepada pemimpin muda parti itu bagi menerajui Kelantan.

Malah menurut laporan itu, golongan berkenaan mahu Nik Abdul Aziz yang dianggap sudah berumur dan mengalami masalah kesihatan, menyediakan pelan peralihan kuasa segera kerana kerap berlaku mesyuarat penting membabitkan keputusan segera kerajaan negeri terpaksa ditangguh kerana beliau berada di hospital.

Sementara itu, Adun Bukit Tuku, Abdul Fatah Haron meminta pihak yang membuat dakwaan itu agar tampil ke hadapan agar bersuara mengenai gesaan itu.

"Tidak ada sebab kami mahukan tok guru berhenti. Tok guru memang dikenali sebagai bapa perpaduan. Kami tidak mahu dia berhenti," katanya.

Adun Tawang, Hassan Mohamood pula berkata, isu gesaan itu tidak pernah dibangkitkan di kalangan wakil rakyat Pas kerana mereka akan menyokong Nik Abdul Aziz sehingga akhir hayatnya.

"Kita sokong Tok Guru sampai mati. Semua terus sokong," katanya sambil menyifatkan gesaan itu datang daripada pihak luar dan bukan di kalangan Adun Pas. - Bernama

Tiada ulasan: