Ahad, 23 November 2008

Niat jahat RTM,TV3 terhadap Kedah dalam isu ladang babi

Kuala Lumpur, 23 November - Media arus perdana yang berpihak kepada Umno/BN sekali lagi cuba menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat(PR).

Jika sebelum ini, media cetak memainkan peranan dengan menjadi agen penyebar dakyah dan permainan licik politik Umno/BN,kini media elektronik pula menjadi senjata apabila RTM dan TV3 cuba memutarbelitkan fakta untuk menjatuhkan nama baik Kerajaan Kedah.

Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kedah, Mohd Helmi Mohd Khalid dalam kenyataannya hari ini mendedahkan bagaimana kerajaan Kedah dijadikan mangsa dengan corak pemberitaan yang memesongkan dan berniat jahat.

Menurutnya, siaran berita RTM di TV1 sekitar jam 1.00 petang pada 19 November dan siaran Buletin Utama TV3 jam 8.00 malam pada 19 November, mendedahkan tembelang sebenar sikap stesen televisyen tersebut apabila menyiarkan berita yang jauh terpesong dan berniat jahat.

"Siaran berita tv berkenaan melaporkan bahawa Kerajaan Kedah bakal membuka sebuah ladang ternakan babi di negeri itu.

"Saya ingin tegaskan bahawa kedua-dua berita tersebut adalah satu pembohongan dan memutarbelitkan fakta seperti yang tercatat dalam buku Jawapan Bertulis Mesyuarat Keempat Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (Dun) 12 (Mesyuarat Bajet 2009),"jelasnya.

Tambahnya,siaran berita tersebut hanyalah berbentuk jahat untuk menjatuhkan nama baik Kerajaan Kedah dan menghasut rakyat untuk bencikan Kerajaan dan berbentuk provokasi.

"Sebagai makluman pembukaan ladang itu hanya akan berlaku jika terdapat aduan kacau ganggu di ladang-ladang yang sedia ada.

"Selebihnya, keputusan tersebut telah dibuat oleh kerajaan terdahulu melalui satu surat bertarikh 4 Disember tahun lalu bertajuk 'Keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (MMK) Mengenai Ladangan Masa Depan Industri Ternakan Khinzir di Negeri Kedah Darul Aman',"katanya lagi.

Helmi juga mendedahkan,sekalipun telah dijelaskan dalam sesi penggulungan Sidang Bajet pada 20 November lalu dan sidang akhbar pada hari yang sama oleh Menteri Besar negeri, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak, bahawa ini adalah keputusan Kerajaan terdahulu.

"Walau bagaimanapun TV3 khususnya masih menggunakan perkataan 'hasrat Kerajaan PAS Kedah membuka ladang babi'.

"Bagi saya ia jelas satu pembohongan fakta yang amat jelas oleh stesen televisyen swasta negara itu dalam siarannya pada 20 dan 21 November melalui slot Buletin Utama.

"Saya juga ingin menjelaskan bahawa dalam sidang akhbar, Menteri Besar juga telah memberitahu bahawa beliau dan Kerajaan Negeri PR menghormati keputusan Kerajaan terdahulu bertarikh 4 Disember tahun lalu itu.

"Setelah mendapat nasihat daripada pihak Vertarina negeri, pihaknya belum lagi memutuskan tempat atau bila ladang berpusat itu akan dibina,"jelasnya lagi.

Beliau juga menambah, Ustaz Azizan juga menyatakan pembinaan ladang ternakan itu adalah untuk kebaikan semua pihak bagi mengelakkan sebarang kemungkinan masalah seperti pencemaran, bau busuk dan seumpamanya.

Menurut Ustaz Azizan,kata Helmi, bukan hanya ladang babi, jika terdapat ladang ayam, lembu, kambing, kerbau sekalipun telah menimbulkan keresahan rakyat, maka ladang tersebut akan dipindahkan.

Oleh itu katanya, daripada penjelasan itu, amat jelas bahawa Kerajaan Negeri memikirkan satu tempat dan kaedah terbaik untuk mengatasi permasalahan yang mungkin atau telah wujud berpunca dari ladang ternakan tersebut.

"Adalah di luar daripada jangkauan pemikiran saya jika pemberita TV3 Kedah lebih suka melihat ladang babi dibina berdekatan kawasan perumahan jika dibandingkan dengan usaha Kerajaan Negeri untuk memindah dan memusatkan ladang dan sembelihan di satu kawasan yang jauh dari kawasan penempatan penduduk.

"Saya juga menjangkakan, jika ladang baru itu nanti terbina sekalipun jauh dari kawasan penempatan, sekali lagi akan ada pihak memainkan isu bahawa Kerajaan PR membina ladang ternakan babi yang luas.

Tambahnya, jika andaian beliau itu benar-benar berlaku, sahlah bahawa berita berkenaan bukannya membela hak dan kepentingan rakyat tetapi ia lebih membela hak binatang ternakan tersebut kerana telah dipinggirkan dan ditempatkan di kawasan yang terpencil,"tegasnya. - Harakah Daily

Tiada ulasan: