Isnin, 8 Disember 2008

GMUKM desak ISA dimansuhkan

oleh Hazman Abdullah

Bangi, 8 Disember - Gabungan Mahasiswa Kebangsaan Malaysia (GMUKM) menyokong ketegasan Presiden Parti Progresif Rakyat (PPP) Datuk Seri M Kayveas terhadap isu Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hinggakan sanggup membawa PPP keluar daripada BN.

Setiausaha Kerja GMUKM, Hishamuddin Abdullah berkata, Ggabungan itu menghormati ketegasan Kayveas dan juga para pemimpin BN lain termasuk daripada Pakatan Rakyat dalam gerakan memansuhkan akta yang berusia lebih 48 tahun ini.

Secara faktanya, ISA telah dirangka oleh R.H Hickling dan mula berkuatkuasa di Malaysia Barat pada 1 Ogos 1960.

Menurut data yang dikeluarkan oleh Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), terdapat 64 orang sedang ditahan di Kem Kamunting sehingga kini.

Terdapat ramai negarawan yang dikenakan ISA sejak penguatkuasaannya pada 1960 lalu.

Antaranya bekas Presiden Pas Dr Burhanuddin Al-Helmi, Datuk Ahmad Boestamam, Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden PKR Dr Syed Husin Ali dan terbaru, pengendali Malaysia Today Raja Petra Kamarudin dan Exco Selangor Teresa Kok

“Kami menyokong ISA dimansuhkan bukan berdasarkan emosi semata-semata tetapi berdasarkan hujah akedemik yang berlandaskan kebebasan mengeluarkan pendapat sepertimana peruntukkan Perkara 10 (1)(a) Perlembagaan Persekutuan kita”, ujar Hishamuddin.

“Antara hujah yang boleh dikemukakan kenapa ISA perlu dimansuhkan ialah daripada faktor kuasa kehakiman yang perlu diberikan semula kepada hakim dan bukannya Menteri Dalam Negeri sepertimana diperuntukkan dalam Seksyen 8(1) ISA itu sendiri.”

“Juga tahanan tanpa bicara yang jelas bercanggah dengan Perkara 8 Perlembagaan.

"kita sepatutnya memberi peluang kepada setiap warganegara hak sama rata di sisi undang-undang serta hak untuk akses kepada peguam dalam masa 24 jam”, ujarnya yang juga merupakan aktivis mahasiswa.

Tambahnya lagi, penyeksaan dalam tahanan ISA seperti perbuatan memukul, penanggalan pakaian, soal siasat selama 24 jam, ketidakbenaran tidur, ancaman bunuh, ancaman deraan fizikal pada ahli keluarga termasuk ancaman rogol kepada anak mereka dan pelbagai lagi kezaliman lain adalah satu prosedur penyiasatan yang tidak boleh diterima oleh akal dalam dunia yang terbuka pada hari ini.

“Mahasiswa amat tersentuh dengan kisah malang isteri-isteri tahanan ISA yang merana selepas suami mereka ditahan tanpa bicara."

"Kes anak tahanan ISA yang tidak sempat melihat ayahnya sebelum menghembuskan nafas yang terakhir dan kisah-kisah ini tidak pernah menjadi pedoman kepada ahli Parlimen untuk menghapuskan undang-undang rimba ini”, ujarnya.

Katanya, GMUKM turut melihat ISA bertentangan dengan undang-undang tertinggi negara dan juga konsep kedaulatan undang-undang walaupun diharuskan oleh Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan yang memberikan kuasa kepada Parlimen untuk membuat undang-undang bagi mencegah kegiatan subversif.

Justeru itu, katanya, hanya satu jalan yang boleh diambil iaitu ISA perlu dimansuhkan dan kerajaan boleh meluluskan undang-undang untuk menangani masalah-masalah tertentu yang melibatkan ancaman negara seperti undang-undang mencegah penyeludupan, pemalsuan pasport dan seumpamanya.

Hishamuddin juga berkata isu ISA amat dekat dengan mahasiswa kerana mahasiswa turut dikenakan penahanan di bawah ISA seperti yang berlaku ke atas 7 orang mahasiswa pada tahun Jun 2001 lalu dan juga dua aktivis pelajar, iaitu Khairul Anuar Ahmad Zainuddin dan Mohamad Fuad Mohamad Ikhwan akibat kebakaran Dewan Tunku Canselor di Universiti Malaya.

Tiada ulasan: