Selasa, 9 Disember 2008

Kempen berbasikal Jerit, angka tahanan meningkat

Kuala Lumpur, 9 Disember - Sepuluh lagi peserta kumpulan kempen "Rakyat Pengayuh Perubahan" ditahan polis hari ini di Perak dan Johor selepas 22 mengalami nasib yang sama sejak Jumaat lalu.

Enam daripada yang ditahan termasuk ahli parlimen Sungai Siput, Dr D Jeyakumar dibawa ke balai polis Kuala Kangsar dan sementara dua dibawa ke Taiping.

Program bagi menuntut perubahan politik dari utara dan selatan Semenanjung itu merupakan anjuran Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) dan dilancarkan di Alor Star, Rabu lepas.

Seorang ditahan dalam perjalanan dari bandar itu, 16 lagi ditahan sewaktu ingin bertolak dari Johor Bahru sehari selepasnya dan lima lagi di Kluang ditahan kelmarin.

Program berbasikal itu dijangka berakhir di Parlimen pada pagi 21 Disember ini dengan acara menyerahkan memorandum kepada kerajaan.

Tuntutan kumpulan berbasikal ini, antaranya, perumahan selesa untuk rakyat, mengawal harga barangan, penggubalan akta gaji minimum RM1,500 dan menghentikan penswastaan air, hospital dan pendidikan.

Difahamkan sekumpulan besar peserta ini, termasuk 44 orang di dalam sebuah bas, ditahan di Kuala Kangsar tetapi telah dibebaskan selepas polis mengambil butiran peribadi mereka.

Menurut laporan media Jerit, seorang penyelaras wanitanya mengalami gangguan seks sewaktu ditahan, manakala kamera seorang aktivis turut dirampas.

Sementara itu, di Segamat, beberapa kenderaan kumpulan peserta ini seperti lori, van dan pacuan empat roda ditahan polis.

Semalam, lapan basikal kumpulan ini dibakar sewaktu mereka sedang tidur di Penanti dalam kawasan parlimen Permatang Pauh. - Malaysiakini

Tiada ulasan: