Rabu, 3 Disember 2008

PR alu-alukan penyertaan Zaid Ibrahim

Parlimen, 3 Disember - Pakatan Rakyat(PR) hari ini mengalu-alukan penyertaan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim ke dalam pakatan itu selepas beliau dipecat keahliannya daripada Umno semalam.

Ketua PR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Zaid banyak berkongsi prinsip hak asasi rakyat dan menghormati jaminan hak dalam perlembagaan iaitu isu sama yang diperjuangkan Pakatan Rakyat.

"Kenyataannya yang menghormati jaminan dalam perlembgaan dan menentang undang-undang zalim seperti ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) sama dengan apa yang diperjuangkan oleh kami dan kami selesa dengannya," katanya.

Penasihat PKR itu berkata demian pada majlis penyerahan salinan memorandum daripada Kongres Kesatuan Sekerja (MTUC) kepada Menteri Kewangan berhubung bantahan penggunaan RM5 bilion wang Kumpulan Simpanan Pekerja (KWSP) untuk Valuecap Sdn Bhd, di Parlimen.

Ditanya sama ada beliau akan menjemput Zaid menyertai PKR, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, beliau turut mengalu-alukannya namun tidak mahu memaksa Zaid memandangkan beliau baru sahaja dipecat dan Zaid juga sering mengadakan perbincangan dengan parti-parti lain termasuk Pas dan DAP.

"Kami selesa dengan pendiriannya dan mahu beliau melibatkan diri dengan lebih lagi memandangkan beliau kini sudah pun terlibat dengan PR," katanya.

Anwar berkata, pemecatan Zaid daripada Umno melambangkan sikap tidak bertoleransi parti itu kepada ahli yang mempunyai pendapat yang tidak sehaluan dengan parti.

"Kehadiran mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak itu tidak menjadi masalah tetapi itu isu Umno.

"Cuma kita harap Zaid mengambilnya sebagai cabaran dan terjun dalam gelanggang," katanya.

Mantan Timbalan Perdana Menteri itu berkata, pemecatan keahlian Zaid daripada Umno bukanlah satu perkara besar kerana kenyataan-kenyatan parti itu sebelum ini menunjukkan ia tidak mempedulikan prinsip asas hak asasi manusia dan hal ini tidak selari dengan pendirian Zaid.

"Pada saya, ia (pemecatan) bukan isu. Apa yang besar sangat jika dipecat?" katanya.

Ditanya sama ada Zaid pernah menyatakan hasrat untuk menyertai PKR, Anwar berkata, mereka pernah mengadakan siri perjumpaan tertutup dengan Zaid selepas beliau meletak jawatan sebagai menteri Kabinet.

"Bagaimanapun, yang tertutup itu biarlah tertutup," katanya yang enggan mengulas lanjut.

Tiada ulasan: