Jumaat, 21 November 2008

Tabur fitnah,kelirukan rakyat adalah kerja media arus perdana

Dungun, 21 November - Ketua Pakatan Rakyat(PR), Dato' Seri Anwar Ibrahim mengecam konspirasi media arus perdana yang bais kepada Umno/BN kerana bertungkus lumus untuk menjatuhkan kerajaan negeri PR dengan menabur fitnah, adu-domba dan memainkan isu-isu sensitif bagi mengelirukan rakyat.

Selain untuk mencetuskan kemarahan rakyat, tindakan media itu juga bertujuan untuk menjatuhkan reputasi lima kerajaan negeri yang dipimpin PR.

Perkara ini didedahkan pada Majlis Makan Malam dan Bengkel Mini Pakatan Rakyat yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di Ampang Selasa lepas.

Penasihat PKR itu menyifatkan media arus perdana bertindak 'kasar' dengan melaporkan isu-isu sensitif yang boleh mencetuskan perbalahan kaum dan agama seperti yang berlaku ke atas exco Selangor, Teresa Kok dan Ronnie Liu serta pengendali laman web Malaysia today, Raja Petra Kamaruddin.

Sementara itu, Presiden PAS Dato Seri Haji Abdul Hadi Awang dalam penegasannya, bimbang peranan yang dimainkan oleh media arus perdana boleh mengancam kestabilan dan kemuafakatan kompenan parti dalam PR sekiranya perkara ini tidak dapat dibendung dengan segera.

Kata beliau, peri pentingnya media telah dibuktikan oleh MCA dengan mengambil alih dua buah akhbar utama berbahasa Cina, Nyangyang Siang Pau dan Sin Chew Daily selepas pilihan raya kecil Lunas bagi menyekat sokongan orang-orang Cina terhadap parti alternatif.


Justeru itu, majlis presiden PR mengingatkan rakyat agar tidak terpedaya dengan laporan-laporan berniat 'jahat' yang disiarkan oleh media cetak dan elektronik yang dikuasai Umno/BN.

Pada majlis itu, hampir semua ahli-ahli parlimen PR hadir bersama beberapa pemimpin tertinggi PAS, KeADILan dan DAP.

Majlis seumpana itu akan diadakan setiap selasa di tempat yang sama setiap minggu. - Harakah

Tiada ulasan: