Jumaat, 21 November 2008

Anwar 'berkampung' sehari di T'ganu esok

Kuala Terengganu, 21 Nov - Penasihat PKR, Dato' Seri Anwar Ibrahim akan berkunjung ke Terengganu esok bagi rasmikan majlis penutup Seminar Harapan Baru Malaysia.

Kemudian, Ketua Pakatan Rakyat itu akan merasmikan Pejabat Badan Perhubungan PKR Terengganu di Wisma Cemerlang, Jalan Sultan Zainal Abidin, Ladang.

Menurut Setiausaha PKR Terengganu, Wan Rahim Wan Hamzah,Seminar Seharum itu diadakan secara tertutup khusus bagi para perwakilan parti di seluruh kawasan di negeri ini.

"Kita adakan seminar ini untuk mendapat suntikan semangat baru daripada pimpinan tertinggi parti sebagai persiapan menghadapai Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 akan datang.

"Kita sedar selama ini PKR Terengganu masih kekurangan tenaga dan melalui program ini diharapkan dapat mengumpul kekuatan dan tenaga baru," ujarnya.

Katanya, Anwar akan merasmikan pejabat baru Badan Perhubungan KeADILan Terengganu yang akan menjadi induk pergerakan parti itu.

Beliau yang juga bekas calon PKR Dun Permaisuri pada PRU Mac lalu menyeru agar rakyat di negeri ini berfikiran terbuka serta tidak terlalu fanatik dengan Umno dan kerajaan BN.

Ujarnya, rakyat wajar berfikiran merdeka yang berhak mendengar dan melihat perkembangan semua parti secara sihat.

Wan Rahim berkata rakyat boleh melihat serta mendengar sendiri ucapan dan pandangan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu yang akan berucap pada majlis Ceramah Perdana tersebut.

Jelasnya lagi, dua pemimpin besar Pakatan Rakyat termasuk Presiden Pas, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan Pesuruhjaya Pas Terengganu, Dato' Mustafa Ali turut akan menyampaikan amanat kepada rakyat di negeri ini. - harakah

Tiada ulasan: