Jumaat, 21 November 2008

Tahanan ISA difadhukan sembahyang Jumaat

oleh Syukree Hussain

Dungun, 21 November - Tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang kini berjumlah lebih 60 orang berhak untuk mengamalkan anutan agama masing-masing termasuk solat Jumaat bagi mereka yang beragama Islam.

Menjawab kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato' Seri Dr Zahid Hamidi, pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin (RPK) berkata, Zahid sengaja berdolak dalih dalam soal ini.

"Tahanan ISA dah lapan tahun 'bergaduh' dengan kerajaan dalam isu sembahyang Jumaat tapi kerajaan termasuk Mufti Perak masih tidak beri kebenaran sembahyang Jumaat walaupun sesama sendiri dalam kem tahanan," kata RPK yang dihubungi hari ini.

Jelasnya, tahanan ISA ada lebih 60, banduan lain lebih 200 dan Warder lebih 300, maka sudah melebihi dari 40 walaupun ditolak dengan mereka yang bukan Islam.

Semalam, Zahid dalam kenyataannya, membidas RPK yang mempertikaikan prosedur penahanan ISA yang tidak membenarkan tahanan beragama Islam melakukan solat.

Ahli Parlimen Bagan Datoh itu berkata, solat Jumaat sememang tidak diizinkan bagi tahanan ISA dan janganlah sesiapa memberi alasan untuk mempertikaikannya.

Sementara itu, Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid mengeluarkan kenyataan bahawa solat Jumaat tetap wajib ke atas tahanan ISA.

Dalam pada itu, RPK turut mencabar Zahid yang menuduh Malaysia Today menghina Islam, supaya menunjukkan bahagian atau artikel mana yang disiarkan dalam web itu yang dikatakan menghina Islam.

"Sesiapa sahaja boleh membuat tuduhan tanpa sebarang bukti."

"Kalau betul ada dah lama mereka dakwa saya di mahkamah."

"Tidak perlu ditahan di bawah ISA selama hampir dua bulan," ujarnya.

Untuk ingatan, dua bulan dahulu RPK ditahan di bawah ISA ketika umat Islam bersiap sedia untuk menunaikan solat Jumaat.

RPK akan hadir ke Mahkamah Jalan Duta Isnin ini bagi menghadapi pendakwaan di bawah tuduhan 'criminal defamation' bersabit Akuan Bersumpah yang beliau tandatangani pada April 2008. - Malaysia Today

Tiada ulasan: