Isnin, 17 November 2008

Ketiadaan PM, TPM dalam negara dipertikai

Parlimen, 17 November - Penasihat DAP, Lim Kit Siang hari ini mempertikaikan ketiadaan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Badawi dan timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak di dalam negara pada dua hari yang sama.

Abdullah dan Najib tidak berada dalam negara untuk dua hari dalam minggu ini kerana menghadiri lawatan rasmi.

Lim berkata, mengikut kedudukan peraturan sejak 30 tahun lalu, Perdana Menteri dan timbalannya tidak boleh meninggalkan negara pada masa yang sama.

Beliau berkata demikian berikutan Abdullah kini berada di Uzbekistan untuk lawatan rasmi empat hari yang turut disertai oleh dua Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dan Senator Tan Sri Amirsham Abdul Aziz; Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Shafie Apdal dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Abdullah hanya akan kembali bertugas pada Jumaat ini.

Sementara itu, Najib pula akan ke Lima, Peru untuk menghadiri Mesyuarat Pemimpin-pemimpin Ekonomi APEC ke-16 esok dan seterusnya ke New York dan dilaporkan hanya akan pulang pada awal bulan depan.

Lim berkata, ini bermakna, pada Rabu dan Khamis ini, kedua-dua mereka tidak ada di dalam negara.

Justeru beliau mempersoalkan siapa yang akan menjadi pemangku Perdana Menteri pada dua hari tersebut.

“Tidak boleh Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kini mendahului dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden Umno kerana beliau juga bersama dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar akan ke luar negara bersama (Datuk Seri) Najib esok.

“Bolehkah menteri yang paling senior di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Bernard Dompok atau Presiden MCA yang baru dipilih, Datuk Seri Ong Tee Keat?,” katanya kepada media di luar Parlimen, hari ini, di sini.

Lim berkata, ini merupakan satu kritikan terhadap Ahli Parlimen Umno yang tidak menerima kedudukan yang termaktub dalam perlembagaan bahawa jawatan Perdana Menteri terbuka kepada semua warganegara Malaysia tidak mengira bangsa, agama atau wilayah.

Dalam perkembangan yang sama, Lim juga meminta Najib menyerahkan isu ‘ketidakpastian’ peruntukan tambahan RM7 bilion dalam Bajet 2009 kepada Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop bagi mendapatkan kelulusan Parlimen sepanjang ketiadaannya. - mstar

Tiada ulasan: