Isnin, 17 November 2008

PR pertahan Islam dan hak istimewa Melayu - Anwar

Shah Alam, 17 November - Pakatan Rakyat (PR) menerima kedudukan hak istimewa orang Melayu, bahasa Melayu dan agama Islam sebagai agama persekutuan sepertimana terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perkara itu ditegaskan oleh Ketua PR Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Menurut beliau, isu berhubung perkara itu tidak perlu dirisaukan lagi kerana persefahaman mengenainya telah dibuat antara ketiga-tiga parti anggota Pakatan - PKR, DAP dan PAS.

Malah, tegas Anwar lagi, kenyataan bahawa kesemua pihak telah bersetuju mengenai perkara itu, telah dikeluarkan pada 8 September lalu.

Kenyataan tersebut atara lain menegaskan bahawa PR sekali lagi mengulangi pendirian menjunjung prinsip-prinsip dasar yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ini termasuk soal-soal dasar seperti kedudukan Islam sebagai agama persekutuan dan menjaminkan kebebasan mengamalkan agama lain, kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, dan mempertahan hak bahawa ibunda, kedudukan kedaulatan dan institusi Raja-raja Melayu.

Ia termasuk kedudukan hak istimewa orang Melayu dan bumiputera, serta hak-hak semua kuam yang telah dijamin oleh Perlembagaan.

Menurut kenyataan berkenaan lagi, berdasarkan prinsip-prinsip perlembagaan tersebut, PR menolak sekeras-kerasnya pendekatan politik perkauman sempit.

Oleh itu, tegas Penasihat PRK itu, tidak timbul lagi sebarang salahfaham mengenai isu yang membabitkan hak istimewa orang Melayu, bahasa Melayu dan agama Islam.

Anwar menegaskan demikian dalam ucapannya di majlis perjumpaan khas dengan guru KAFA di Selangor di Shah Alam hari ini.

Hadir sama ialah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Tiada ulasan: