Selasa, 18 November 2008

Isu hina Islam: 1 jam RPK disoal siasat polis

[Kemaskini 16:30]

oleh Syukree Hussain

Sentul, 18 November - Pengendali laman web Malaysia Today Raja Petra Kamaruddin (RPK) disoal siasat hampir sejam oleh pihak polis di Balai Polis Sentul di sini.

Beliau yang ditemani isteri, Marina Abdullah dan lebih 20 penyokong tiba di balai tersebut kira-kira jam 2.30 petang.

Lima minit kemudian RPK terlebih dahulu membuat laporan polis terhadap Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kerana tidak membenarkannya menunaikan solat Jumaat semasa berada di Kem Tahanan Kamunting (Kemta).

"Laporan dibuat termasuk kenyataan yang dikeluarkan oleh Mufti Perak yang menyatakan tahanan ISA tidak perlu menunaikan fardhu Jumaat," jelasnya selepas keluar dari balai kira-kira jam 4 petang.

Beliau mula diambil kenyataan oleh polis pada jam 3 petang.

Walau bagaimanapun, RPK yang hadir bersama dua peguamnya, S Majitsidhu dan C Jadadish, tidak memberi sebarang kenyataan kerana sudah hampir 10 hari semasa beliau ditahan dalam ISA, kenyataannya sudah diambil.

Pihak polis menelefon beliau tengahhari tadi melalui ASP Aziz, meminta RPK hadir ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sentul berhubung kenyataan yang menghina Islam yang dipaparkan dalam laman web Malaysia Today.

Empat pihak iaitu Jakim, Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi), Yayasan Dakwah Islam Malaysia (Yadim) dan Mufti Perak telah membuat laporan terhadap RPK lebih kurang empat bulan lepas berkenaan perkara tersebut.

"Apa yang disiarkan dalam laman web Malaysia Today yang dikatakan telah menghina Islam adalah dikirim oleh pelawat melalui ruangan komen," jelas RPK yang menafikan beliau menghina Islam.

Beliau tidak mengetahui sama ada beliau akan dipanggil semua atau tidak oleh pihak polis pada masa akan datang.

Tiada ulasan: