Isnin, 1 Disember 2008

Bersih anasir BN dalam Kerajaan PR bukan cadangan bijak - Bekas Ketua Penerangan AMK

PARLIMEN, 1 Disember - Cadangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR untuk membersihkan anasir BN daripada lima kerajaan negeri Pakatan Rakyat (PR), tidak menyelesaikan masalah birokasi dan kelancaran dalam pentadbiran.

Perkara itu disuarakan oleh bekas Ketua Penerangan AMK, Badrul Hisham Shahrin ketika ditemui di Pejabat Ketua Pembangkang hari ini.

"Apa yang dikatakan oleh AMK itu bukan cadangan yang bijak.

"Kalau biarkan sistem yang korup terus berjalan, lantik siapa pun perkara itu akan terus berlaku," kata ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PKR itu.

Beliau diminta mengulas gesaan AMK supaya kerajaan Pakatan tanpa banyak alasan segera 'membersihkan kerajaan negeri daripada anasir BN' dengan segera dan tanpa berdolak-dalik.

Kelmarin, Ketuanya Shamsul Iskandar Md Akin berkata, PKR tidak boleh terpukau dan terpedaya dengan pemimpin dan ahli BN yang bertukar kulit semata-mata untuk membolot peluang, tanpa menghayati prinsip, komitmen dan falsafah perjuangan dan yang didukung.

Badrul , negeri-negeri yang diperintah PR, selepas memperoleh kejayaan besar dalam pilihanraya umum lalu, mendapat 'kejutan budaya' dalam menghadapi masalah kelancaran pentadbiran.

Bekas calon Parlimen Rembau itu berkata, PR, selepas lapan bulan memerintah harus 'berhenti sejenak' bagi menilai kembali pendekatan yang diamalkan dan tidak perlu tergesa-gesa mengambil sesuatu tindakan.

Mengakui terdapat sabotaj anasir BN terdiri daripada kakitangan kerajaan di pelbagai sektor dan peringkat, Badrul berkata, tidak semua di antara mereka yang berniat tidak baik.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada akan bertanding untuk jawatan tertinggi sayap kanan itu, beliau berkata masih terlalu awal untuk membuat keputusan.

"Saya tidak pernah berfikir tentang perkara ini dan yang pentings sebagai salah seorang pimpinan parti, saya menjalankan tugas menguatkan parti dalam proses peralihan kuasa," ujarnya.

Beliau juga menasihatkan kepada mereka yang sudah berkira-kira untuk bertanding atau mempertahankan jawatan dalam AMK, supaya lebih menumpukan tentang agenda memperkuatkan AMK di pusat dan negeri terutama dalam menghadapi Pilihanraya Kecil Parlimen Kuala Terengganu dan Pilihanraya negeri Sarawak tidak lama lagi.

AMK akan mengadakan pemilihan pimpinan baru pada Kongres Nasional ketujuh pada tahun 2010. - Malaysia Today

Tiada ulasan: