Khamis, 27 November 2008

Jom Heboh: Pemuda Pas Penang kecewa dengan KM

Georgetown, 27 November - Ketua Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang, Mohamed Hafiz Mohamed Nordin menganggap Ketua Menteri, Lim Guan Eng tidak menghormati Islam kerana meluluskan penganjuran ‘Konsert Jom Heboh’ baru-baru ini.

Menurut Mohamed Hafiz, tindakan Ketua Menteri itu seolah-olah tidak mengendahkan hukum Islam, pada hal sebelum ini beliau telah memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri akan mengikut sistem pentadbiran Khalifah Umar Abdul Aziz.

“Kebenaran Kerajaan Negeri yang meluluskan konsert tersebut nyata bercanggah dengan cara pentadbiran Khalifah Umar Abdul Aziz yang bukan hanya menekankan soal kemungkaran malah menghapuskan sebarang aktiviti kemungkaran yang dilakukan oleh rakyat.

“Jika hal ini berterusan, Dewan Pemuda Pas menganggap Ketua Menteri tidak peka mengenai Islam,” katanya.

Beliau berkata, sebagai sebuah kerajaan Pakatan Rakyat (PR) seharusnya Ketua Menteri mendengar dan menerima pandangan serta bantahan daripada parti-parti komponen lain.

“Islam bukan melarang umatnya berhibur tetapi biarlah hiburan yang tidak menggalakkan kepada kemungkaran dan mematuhi ajaran Islam.

“Surat rasmi bantahan penganjuran tersebut telah dikemukakan kepada Ketua Menteri, dan Majlis Perbandaran Sebarang Perai (MPSP) namun sehingga hari ini (Selasa) tiada sebarang maklum balas daripada beliau.

“Perkara ini amat mengecewakan kita kerana apa yang dijanjikan oleh Ketua Menteri pada awalnya berlainan dengan apa yang dilaksanakan pada hari ini,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini Ketua Menteri belum pernah mengadakan pertemuan atau perbincangan dengan Dewan Pemuda Pas berhubung keadaan semasa dan juga kepentingan rakyat.

“Sebagai Ketua Menteri, beliau sepatutnya mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan parti-parti komponen lain dalam PR,” katanya.

Mohamed Hafiz menganggap Kerajaan Negeri membelakangi pandangan parti komponen lain dalam Pakatan Rakyat (PR). - Sinar Harian

[Pihak Seruan Keadilan akan menghubungi Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang itu dan Ketua Menteri Pulau Pinang untuk mendapat gambaran lebih lanjut]

Tiada ulasan: