Khamis, 27 November 2008

Kongres PKR: 2,000 pewakilan 'berkampung' di Shah Alam

oleh Muhamad Hussain

Shah Alam, 27 November - Kongres Nasional PKR bakal menyaksikan perwakilan dari 110 Bahagian mewakili seluruh pelusuk negara.

Menurut Setiausaha Agung PKR, Sallehudin Hashim, dianggarkan lebih 2,000 perwakilan akan berkumpul di Stadium Malawati di sini dari 28 hingga 30 November ini.

"Secara tidak langsung kongres kelima parti ini akan menjadi perhimpunan kongres terbesar pernah dianjurkan," katanya.

Kata Sallehudin lagi, semua perancangan dan persediaan sudah dimulakan sejak 10 hari lalu dan persediaan yang dilakukan adalh untuk memastikan Kongres kali ini lebih tersusun dan juga meriah.

Beliau menambah bahawa kakitangan parti di sekreteriat untuk kerja-kerja biasa sudah mencukupi tetapi apabila ada programk seperti kongres dan sebagainya maka khidmat kakitangan parti di peringkat negeri-negeri juga turut diperlukan.

Jelasnya, terdapat 13 orang setiausaha kerja yang bergaji iaitu wakil pusat di pejabat negeri dan mereka akan ke Kuala Lumpur mulai 24 November lalu untuk membantu kerja-kerja yang berkaitan.

“Tahun ini persediaan lebih ketara berbanding sebelum ini, dan ia dibuat secara lebih meriah.

"Tidak semestinya perhmpunan kali ini terlalu besar tetapi lebih meriah kerana kita telah dipesan oleh Kerajaan Selangor supaya menyewa Stadium Melawati.

"Dulu tidak boleh, bukan sahaja untuk anjurkannya dewan kerajaan, malah dewan bukan kerajaan pun orang tidak berani nak sewakan.

"Jadi kita bakal buat di Satdium Melawati yang boleh memuatkan seramai 12,000 orang,” tambah beliau lagi.

Sallehudin menjangka lebih 10,000 termasuk pemerhati dan pihak media akan menghadir kongres nasional parti untuk kali ini.

Beliau berkata Kerajaan Selangor juga akan menganjurkan satu Karnival Rakyat Selangor di tapak berasingan tetapi berdekatan stadium tertutup berkenaan.

Sehubungan itu, katany,a rakyat dan khususnya warga Selangor akan turut memeriahkan karnival dan juga kongres yang bakal diadakan.

“Di samping itu program kita ni tahun ini kita mahu tekankan dan menerangkan apa yang telah dan akan kita buat memandangkan kita sudah jadi kerajaan negeri.

"Kalau dulu kita tidak habis-habis merungut sebab kita pembangkang tetapi sekarang ini kita mahu tekankan apa yang bakal kita buat sebagai kerajaan,” ujarnya lagi.

Menurutnya lagi, keperluan logistik tempat tinggal dan sebagainya walaubagaimanpun mesti dibiayai oleh peserta sendiri.

Beliau menambah pihak sekretariat jawatankuasa pengelola kongres juga akan cuba mengusahakan untuk menyediakan makanan kepada perwakilan yang hadir tetapi walaubagaimanapun beliau mengakui ia mungkin rumit sikit untuk dilakukan.

Beliau yang dilantik mengantikan Menteri Besar Selangor sebagai Setiausaha Agung, bagaimanapun merasakan bahawa soal keselamatan adalah tidak begitu runcing kecuali ada pihak yang membuat kacau.

“Tapi saya yakin kerajaan Selangor sebagai yang kerajaan kita kuasai ini, banyak memberikan kerjasama dan diyakini polis negeri juga akan memberi kerjasama.
"Jadi masalah keselamatan ini bukannya perkara yang rumit. Saya yakin Insya-Allah,” tambahnya lagi. - Watan

PKR, BN berkerjasama bantu rakyat

oleh Syukree Hussain

Kuantan, 27 November - PKR dan BN di Parlimen Kuantan bersatu untuk berkerjasama dalam isu-isu yang melibatkan rakyat.

Perkara tersebut dipersetujui oleh Ahli parlimennya, Fuziah Salleh dan Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob dalam pertemuan empat mata Jumaat lalu.

Pertemuan selama lebih kurang 45 minit itu turut disertai oleh Adun Tanjung Lumpur, Datuk Wan Adnan Wan Mamat dan Adun Inderapura, Datuk Shafik Fauzan.

"Fokus utama agenda pertemuan ini adalah utk membincangkan isu dan permasalahan rakyat.

"Tujuan saya berjumpa dengan Menteri Besar adalah untuk membincangkan satu bentuk kerjasama mengenai
masalah yang dihadapi rakyat di kawasan Parlimen Kuantan," ujarnya.

Menurut Fuziah, sebelum ini, selalunya bantuan bencana untuk kawasan Parlimen Kuantan sukar untuk diluluskan dan disekat.

"Perkara seperti inilah yang kita sepakat untuk melicinkan segala urusan penyerahan bantuan terutama kepada mangsa bencana," jelasnya.

Demi kepentingan rakyat, katanya, PKR dan BN sanggup mengenepikan kepentingan politik dan bersama-sama membantu mereka yang memerlukan.

Sementara itu, diakhir pertemuan, Adnan mengakui bahawa Fuziah merupakan wakil rakyat yang benar-benar berkerja untuk rakyat dan rakyat menyukai khidmat yang

diberikan.

Oleh yang demikian, Menteri Besar itu bersedia bekerjasama dalam hal-hal yang melibatkan isu rakyat, malah membuka laluan untuk Fuziah mengadakan

perbincangan secara terus dengan Adun di bawah Parlimen Kuantan untuk menyelesaikan permasalahan rakyat.

Kesemua Dun di bawah Parlimen dimenangi oleh BN dalam pilihan Raya Umum lalu, dan PKR memenangi dua parlimen dan satu Dun di Pahang. - Malaysia Today

Wartawan dihalang interbiu MP

oleh Revolusi Tak Berbogel

Parlimen, 27 November - Seorang wartawan yang tidak ingin namanya disiarkan telah dihalang oleh beberapa pegawai keselamatan Parlimen, semasa beliau sedang menemubual seorang ahli Parlimen dari Selangor.

Kejadian itu berlaku jam 5 petang ini, di lobi parlimen.

Menurut sumber, wartawan itu dihalang membuat liputan di atas alasan tidak memiliki pas media.

Namun, Pengarah Perhubungan Parlimen telah membenarkan beliau membuat kerja-kerja media walaupun tanpa pas media yang dikeluarkan oleh Kementerian Penerangan Malaysia.

Wartawan tersebut merupakan seorang wartawan bebas yang menyediakan berita untuk beberapa surat khabar termasuk surat khabar online.

Wartawan itu telah dipecat daripada seorang surat khabar parti kerana tidak sehaluan dengan ketua pengarang dan pihak pengarang telah menggunakan cara kotor untuk menyingkirkannya.

Antaranya, ketua pengarang yang juga merupakan reformis pada tahun 1998 menuduh beliau 'sakit' dan mengugut untuk membuat laporan polis diatas kesalahan yang direka-reka. - Tidak Bernama

Anak muda taruh harapan kepada PKR untuk perubahan

oleh Syukree Hussain

Kuala Lumpur, 27 November - Kelab Anwar Ibrahim (AIC) meletakan harapan yang tinggi pada PKR bagi mereformasikan Malaysia dan sentiasa berharap perubahan kearah yang lebih baik dapat dilaksanakan.

Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Exco AIC, Syafiq Sunny, sempena kongres Nasional PKR yang akan berlangsung di Shah Alam esok hingga Ahad ini.

"Kami AIC mengucapkan selamat berkongres kepada seluruh perwakilan Parti KeADILan Rakyat," katanya.

Menurutnya, kelab itu juga berharap agar para perwakilan yang hadir dapat membawa aspirasi rakyat untuk diperdengarkan di kongres kali ini dan berharap tidak ada agenda peribadi bagi mereka di kongres ini.

"Rakyat telah menunjukan sokongan yang kuat pada Pilihanraya Mac lalu serta Pilihanraya Kecil Permatang Pauh September lalu kini tibanya masa untuk PKR membuktikan aspirasi dan menunaikan harapan rakyat!" ujarnya dalam kenyataan beliau kepada Seruan Keadilan.

Semua fitnah dan tomahan adalah tidak benar - Saiful Bukhari



oleh Muhamad Hussain

Kuala Lumpur, 27 November - Pemuda yang membuat 'tuduhan fitnah' terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini, menyangkal segalan tomahan dan fitnah yang dihadapi beliau.

Menurutnya, semuanya termasuk apa yang tersebar dalam laman web kononnya beliau kini terlantar sakit, menjadi lumpuh dan mengidap penyakit kelamin serta telah meninggal dunia, adalah rekakan pihak tertentu.

"Saya ingin menegaskan bahawa keadaan kesihatan saya adalah sangat baik, seperti apa yang dapat dilihat hari ini," katanya selepas keluar daripada Pejatan Jabatan Agama Islam Wilayan Persekutuan (Jawi) pada jam 11.45 pagi hari ini.

Saiful yang ditemani oleh bapanya, Azlan Mohd. Lazim dan peguamnya, Zamri Idrus tiba di pengkarangan Jawi pada jam 11.05 pagi.

Keadaan beliau dilihat amat baik dan sihat.

"Saya sentiasa berdoa kehadrat Allah agar kebenaran ditegakkan," tambahnya.

Ditanya bila akan melangsungkan perkahwinan, jawabnya, jika ada jodoh beliau akan melangsungkan perkahwinan dalam masa terdekat bersama tunang beliau, Janna Mohd Zaki. - Watan

Jom Heboh: Pemuda Pas Penang kecewa dengan KM

Georgetown, 27 November - Ketua Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang, Mohamed Hafiz Mohamed Nordin menganggap Ketua Menteri, Lim Guan Eng tidak menghormati Islam kerana meluluskan penganjuran ‘Konsert Jom Heboh’ baru-baru ini.

Menurut Mohamed Hafiz, tindakan Ketua Menteri itu seolah-olah tidak mengendahkan hukum Islam, pada hal sebelum ini beliau telah memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri akan mengikut sistem pentadbiran Khalifah Umar Abdul Aziz.

“Kebenaran Kerajaan Negeri yang meluluskan konsert tersebut nyata bercanggah dengan cara pentadbiran Khalifah Umar Abdul Aziz yang bukan hanya menekankan soal kemungkaran malah menghapuskan sebarang aktiviti kemungkaran yang dilakukan oleh rakyat.

“Jika hal ini berterusan, Dewan Pemuda Pas menganggap Ketua Menteri tidak peka mengenai Islam,” katanya.

Beliau berkata, sebagai sebuah kerajaan Pakatan Rakyat (PR) seharusnya Ketua Menteri mendengar dan menerima pandangan serta bantahan daripada parti-parti komponen lain.

“Islam bukan melarang umatnya berhibur tetapi biarlah hiburan yang tidak menggalakkan kepada kemungkaran dan mematuhi ajaran Islam.

“Surat rasmi bantahan penganjuran tersebut telah dikemukakan kepada Ketua Menteri, dan Majlis Perbandaran Sebarang Perai (MPSP) namun sehingga hari ini (Selasa) tiada sebarang maklum balas daripada beliau.

“Perkara ini amat mengecewakan kita kerana apa yang dijanjikan oleh Ketua Menteri pada awalnya berlainan dengan apa yang dilaksanakan pada hari ini,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini Ketua Menteri belum pernah mengadakan pertemuan atau perbincangan dengan Dewan Pemuda Pas berhubung keadaan semasa dan juga kepentingan rakyat.

“Sebagai Ketua Menteri, beliau sepatutnya mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan parti-parti komponen lain dalam PR,” katanya.

Mohamed Hafiz menganggap Kerajaan Negeri membelakangi pandangan parti komponen lain dalam Pakatan Rakyat (PR). - Sinar Harian

[Pihak Seruan Keadilan akan menghubungi Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang itu dan Ketua Menteri Pulau Pinang untuk mendapat gambaran lebih lanjut]

Adun Pas nafi 'paksa' MB Kelantan berundur

Kota Bharu, 27 November - Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Kelantan, Zulkifli Mamat menafikan wujudnya desakan daripada kalangan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pas supaya Menteri Besar, Tuan Guru Nik Abdul Nik Mat berundur dari jawatannya.

Malah Adun Pulai Chondong itu berkata, pihaknya mahukan Mursyidul Am Pas itu agar dipanjangkan umur supaya boleh mentadbir Kelantan lebih lama.

"Sepatutnya Tok Guru memerintah lebih lama lagi. Tiada pakatan untuk gesa tok guru berundur sama ada secara sulit atau tidak," katanya kepada pemberita selepas taklimat Homestay anjuran Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Kelantan di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Tuan Guru Nik Aziz yang 'tidak sabar' untuk melepaskan jawatan itu jika Adun Kelantan daripada Pas memintanya berbuat demikian Selasa lalu.

Sebelum ini, sebuah akhbar mingguan melaporkan bahawa beberapa wakil rakyat daripada parti itu mahu beliau meletak jawatan ,pada masa gemilang beliau, dan memberi laluan kepada pemimpin muda parti itu bagi menerajui Kelantan.

Malah menurut laporan itu, golongan berkenaan mahu Nik Abdul Aziz yang dianggap sudah berumur dan mengalami masalah kesihatan, menyediakan pelan peralihan kuasa segera kerana kerap berlaku mesyuarat penting membabitkan keputusan segera kerajaan negeri terpaksa ditangguh kerana beliau berada di hospital.

Sementara itu, Adun Bukit Tuku, Abdul Fatah Haron meminta pihak yang membuat dakwaan itu agar tampil ke hadapan agar bersuara mengenai gesaan itu.

"Tidak ada sebab kami mahukan tok guru berhenti. Tok guru memang dikenali sebagai bapa perpaduan. Kami tidak mahu dia berhenti," katanya.

Adun Tawang, Hassan Mohamood pula berkata, isu gesaan itu tidak pernah dibangkitkan di kalangan wakil rakyat Pas kerana mereka akan menyokong Nik Abdul Aziz sehingga akhir hayatnya.

"Kita sokong Tok Guru sampai mati. Semua terus sokong," katanya sambil menyifatkan gesaan itu datang daripada pihak luar dan bukan di kalangan Adun Pas. - Bernama

Jawi panggil Saiful hari ini

Kuala Lumpur, 27 November:

1048 : Kehadiran peguam Saiful, Zamri Idrus. Menurutnya, Saiful dalam perjalanan menuju Jawi.

1040 : Lebih 20 pengamal media berkumpul depan pejabat Jawi menunggu kehadiran Saiful

1020 - Keadaan di Jawi masih lenggang. Saiful masih belum muncul.

[Berita Terdahulu

Saiful Bukhari Azlan, pemuda yang membuat fitnah terhadapa Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim akan hadir di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) pada jam 11 pagi hari ini.

Menurut sumber, kehadiran Saiful adalah berhubung laporan tuntutan qazaf (tuduhan palsu) yang dibuat oleh Anwar terhadapnya di Mahkamah Syariah pada 9 Julai lalu.

Ketua Pakatan Rakyat itu pada 7 Ogos lalu turut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen terhadap 'tuduhan fitnah' Saiful di sebuah kondominium di Damansara, di sini pada 26 Jun.

Sehubungan itu, Saiful telah diminta hadir memberi keterangan kepada Jawi berhubung tuntutan qazaf tersebut pada 19 Ogos.

Mengulas lanjut, sumber itu memberitahu lagi, kemunculan Saiful di Jawi esok bertujuan menangkis tohmahan dan laporan palsu yang tersebar sebelum ini kononnya beliau ditimpa bala dan sumpah memakan dirinya.

"Saiful perlu hadir di Jawi esok. Pada masa yang sama, beliau ingin menunjukkan yang cerita beliau ditimpa bala adalah tidak benar," jelas sumber itu.

Pihak Seruan Keadilan akan cuba mendapatkan apa yang ingin diperkataan oleh Saiful hari ini. - mstar

[Berita akan dikemaskini]

Selasa, 25 November 2008

Polis dieksplotasi tangani kemaraan PR - Anwar

Parlimen, 25 November -Ketua Pakatan Rakyat (PR) Dato' Seri Anwar Ibrahim berkata pihak polis telah dipergunakan terutamanya dalam menangani kes-kes yang berkaitan dengan PR dan parti alternatif lain.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan pihak polis menyuraikan perhimpuan mansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) anjuran Gerakan Mansuh ISA (GMI) dan Pas, yang diadakan di Ampang Jaya, Ahad lalu.

"Perkembangan terakhir ini (menunjukkan) pihak polis diperalat untuk bertindak terlalu keras terhadap orang-orang yang yang protes (terhadap) ISA.

"Tapi kalau perhimpunan yang ditaja oleh UMNO dan rakan-rakannya, (ia) dibiarkan," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen semalam.

Anwar yang juga Penasihat PKR dijadualkan hadir sekitar kira-kira pukul 10 malam semalam bagi melancarkan perhimpunan tersebut.

Bagaimanapun beliu tidak hadir setelah dimaklumkan perhimpunan itu disuraikan oleh polis secara kekerasan kerana diadakan tanpa permit.

"Saya, Ustaz Hadi (Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang) dan Lim Kit Siang dijemput untuk hadir, namun kita dapat laporan lebih kurang pukul 9 malam perhimpunan itu diserbu," jelasnya.

"Ini satu perkembangan yang amat mendukacitakan.

"Kita pandang serius perkara ini, kalau benar salah (perkara ini) boleh diadakan rundingan dengan baik," katanya.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, beliau tidak faham mengapa perhimpunan seumpama itu sentiasa disifatkan boleh mengancam keselamatan negara sedangkan lebih banyak isu lain yang ditimbulkan menjurus kearah tersebut.

"Tindakan menghasut orang dengan mengatakan kita (PR) anti bahasa Melayu itu tidak ancam keselamatan negara?

"Seperti yang dilaporkan akhbar Utusan Melayu kononya bahasa Melayu diganti dengan bahasa Cina, tidakkah itu bohong?" Soalnya.

Menurut beliau isu-isu sedemikian lebih dianggap serius dan sebenarnya mampu mengancam keselamatan negara. - Mstar

Isnin, 24 November 2008

Tahanan perhimpunan mansuh ISA dibebaskan

[Kemaskini - 1400]

oleh Syukree Hussain

Kuala Lumpur, 24 November - Sembilan orang yang ditahan semalam termasuk Naib Presiden Pas Mohamad Sabu dan Ketua Pemuda Pas Salahuddin Ayub dibebaskan jam 3.30 pagi ini.

Tujuh daripada mereka ditahan sewaktu polis bertindak menyuraikan perhimpunan tersebut.

Manakala Mohamad dan Salahuddin ditahan sewaktu mereka pergi ke balai polis Pandan Indah untuk memberi sokongan kepada mereka yang ditahan itu.

Mereka ditahan berhubung perhimpunan Malam Himpunan Mansuhkan ISA di Ampang Jaya malam tadi.

[Berita terdahulu]

Salah seorang tahanan 9, Ketua Pemuda Pas Wilayah Ustaz Kamaruzzaman Mohamad, mengesahkan bahawa kesemua tahanan kini sedang dalam proses memberi keterangan kepada polis dan belum tahu bila mereka akan dibebaskan.

Ustaz Kamaruzzaman menyatakan demikian ketika dihubungi oleh pihak Seruan Keadilan kira-kira jam 12.50 tadi.

Tahanan 7 merujuk kepada mereka yang ditahan ketika pihak polis menggunakan kekerasan dalam menyuraikan Perhimpunan mansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) malam tadi.

Mereka yang lain turut ditahan ialah Ketua Unit Amal PAS Wilayah Persekutuan, Ketua Penerangan Pemuda PAS Selangor, Mohd Sany Hamdan, Abdullah Rahman, Mohd Amir Ali Mohd Shah, Hafiz Zulkifli dan Azman Abdul Hamid.

Kemudiannya, Naib Presiden Pas Mohamad Sabu dan Ketua Pemuda Pas Salahuddin Ayub turut ditahan.

Terdahulu, pada 9:30 malam ketika Naib Presiden PAS itu berucap kepada penyokong yang hadir, beliau meminta mereka yang hadir supaya bersurai.

“Tetapi permit tidak dikeluarkan lebih kurang dua hari yang lalu.Maklumlah Malaysia masih lagi negara jakun. Perhimpunan aman masih memerlukan permit.”

Menurutnya, Pakatan Rakyat (PR) akan mengadakan satu lagi perhimpunan di Stadium Selayang namun tarikh tersebut akan diputuskan nanti.

Beliau berkata menjelang bulan Mac tahun hadapan mereka berharap ISA akan dapat dimansuhkan.

Kata-kata beliau itu diikuti dengan laungan mansuhkan ISA, jahanam undang-undang jakun, jahanam undang-undang rimba, laungan tersebut diikuti dengan takbir 'Allahuakbar' daripada mereka yang hadir.

Sebaik sahaja selesai Mohamad berucap, kira-kira 40 anggota polis anti-rusuhan (FRU) mula bertindak menyuraikan orang ramai.

Pada kira-kira jam 10 malam, hujan masih turun dan orang ramai beredar di situ manakala anggota polis anti-rusuhan kelihatan berhimpun di belakang pentas di padang tersebut.

Sebelum itu, anggota polis tersebut membentuk dua garisan dari sebelah tepi belakang padang ke sebelah tepi depan padang.

Ketika itu, kelihatan kira-kira 20 orang berpayung di tepi penjuru belakang padang.

[Berita terbaru akan dikemaskini]

Ahad, 23 November 2008

Niat jahat RTM,TV3 terhadap Kedah dalam isu ladang babi

Kuala Lumpur, 23 November - Media arus perdana yang berpihak kepada Umno/BN sekali lagi cuba menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat(PR).

Jika sebelum ini, media cetak memainkan peranan dengan menjadi agen penyebar dakyah dan permainan licik politik Umno/BN,kini media elektronik pula menjadi senjata apabila RTM dan TV3 cuba memutarbelitkan fakta untuk menjatuhkan nama baik Kerajaan Kedah.

Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kedah, Mohd Helmi Mohd Khalid dalam kenyataannya hari ini mendedahkan bagaimana kerajaan Kedah dijadikan mangsa dengan corak pemberitaan yang memesongkan dan berniat jahat.

Menurutnya, siaran berita RTM di TV1 sekitar jam 1.00 petang pada 19 November dan siaran Buletin Utama TV3 jam 8.00 malam pada 19 November, mendedahkan tembelang sebenar sikap stesen televisyen tersebut apabila menyiarkan berita yang jauh terpesong dan berniat jahat.

"Siaran berita tv berkenaan melaporkan bahawa Kerajaan Kedah bakal membuka sebuah ladang ternakan babi di negeri itu.

"Saya ingin tegaskan bahawa kedua-dua berita tersebut adalah satu pembohongan dan memutarbelitkan fakta seperti yang tercatat dalam buku Jawapan Bertulis Mesyuarat Keempat Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (Dun) 12 (Mesyuarat Bajet 2009),"jelasnya.

Tambahnya,siaran berita tersebut hanyalah berbentuk jahat untuk menjatuhkan nama baik Kerajaan Kedah dan menghasut rakyat untuk bencikan Kerajaan dan berbentuk provokasi.

"Sebagai makluman pembukaan ladang itu hanya akan berlaku jika terdapat aduan kacau ganggu di ladang-ladang yang sedia ada.

"Selebihnya, keputusan tersebut telah dibuat oleh kerajaan terdahulu melalui satu surat bertarikh 4 Disember tahun lalu bertajuk 'Keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (MMK) Mengenai Ladangan Masa Depan Industri Ternakan Khinzir di Negeri Kedah Darul Aman',"katanya lagi.

Helmi juga mendedahkan,sekalipun telah dijelaskan dalam sesi penggulungan Sidang Bajet pada 20 November lalu dan sidang akhbar pada hari yang sama oleh Menteri Besar negeri, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak, bahawa ini adalah keputusan Kerajaan terdahulu.

"Walau bagaimanapun TV3 khususnya masih menggunakan perkataan 'hasrat Kerajaan PAS Kedah membuka ladang babi'.

"Bagi saya ia jelas satu pembohongan fakta yang amat jelas oleh stesen televisyen swasta negara itu dalam siarannya pada 20 dan 21 November melalui slot Buletin Utama.

"Saya juga ingin menjelaskan bahawa dalam sidang akhbar, Menteri Besar juga telah memberitahu bahawa beliau dan Kerajaan Negeri PR menghormati keputusan Kerajaan terdahulu bertarikh 4 Disember tahun lalu itu.

"Setelah mendapat nasihat daripada pihak Vertarina negeri, pihaknya belum lagi memutuskan tempat atau bila ladang berpusat itu akan dibina,"jelasnya lagi.

Beliau juga menambah, Ustaz Azizan juga menyatakan pembinaan ladang ternakan itu adalah untuk kebaikan semua pihak bagi mengelakkan sebarang kemungkinan masalah seperti pencemaran, bau busuk dan seumpamanya.

Menurut Ustaz Azizan,kata Helmi, bukan hanya ladang babi, jika terdapat ladang ayam, lembu, kambing, kerbau sekalipun telah menimbulkan keresahan rakyat, maka ladang tersebut akan dipindahkan.

Oleh itu katanya, daripada penjelasan itu, amat jelas bahawa Kerajaan Negeri memikirkan satu tempat dan kaedah terbaik untuk mengatasi permasalahan yang mungkin atau telah wujud berpunca dari ladang ternakan tersebut.

"Adalah di luar daripada jangkauan pemikiran saya jika pemberita TV3 Kedah lebih suka melihat ladang babi dibina berdekatan kawasan perumahan jika dibandingkan dengan usaha Kerajaan Negeri untuk memindah dan memusatkan ladang dan sembelihan di satu kawasan yang jauh dari kawasan penempatan penduduk.

"Saya juga menjangkakan, jika ladang baru itu nanti terbina sekalipun jauh dari kawasan penempatan, sekali lagi akan ada pihak memainkan isu bahawa Kerajaan PR membina ladang ternakan babi yang luas.

Tambahnya, jika andaian beliau itu benar-benar berlaku, sahlah bahawa berita berkenaan bukannya membela hak dan kepentingan rakyat tetapi ia lebih membela hak binatang ternakan tersebut kerana telah dipinggirkan dan ditempatkan di kawasan yang terpencil,"tegasnya. - Harakah Daily

MB T'ganu janji tidak akan tarik balik kes royalti - Mustaffa Ali

oleh Syukree Hussain

Marang, 23 November - Pesuruhjaya Pas Terengganu, Dato' Mustaffa Ali mendedahkan bahawa Menteri Besar Terengganu, Dato' Ahmad Said berjanji tidak akan tarik balik kes berhubung wang royalti petroleum.

Janji tersebut dibuat oleh Ahmad ketika kunjungan Mustaffa dan beberapa pimpinan Pas selepas beberapa hari Ahmad dilantik menjadi Menteri Besar.

Semasa tahun 2000, Kerajaan Pas Terengganu ketika itu menfailkan kes wang royalti yang ditarik balik oleh kerajaan persekutuan selepas setahun Pas memerintah.

Pendedahan tersebut dibuat oleh Mustaffa ketika menyampai pidato semasa ceramah perdana di Rusila, Marang semalam.

Turut berceramah ialah Penasihat PKR Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Naib Presiden PKR Mustaffa Kamil Ayub.

Menurut Mustaffa, beliau menasihati Menteri Besar Terengganu itu kerana bimbang jika kes tersebut digugarkan, rakyat Terengganu tidak lagi memperolehi hasil tersebut.

"Walaupun baru-baru ini, Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Badawi mengumumkan bahawa Kerajaan negeri mendapat hak untuk menguruskan wang royalti, tetapi harus diingat hanya hak pengurusan sahaja, bukan hak sebenar," ujarnya di depan lebih 5,000 ribu yang hadir.

Mustaffa Ali turut mendedahkan bahawa mengikut sumber dalaman Pembendaraan Negeri, wang royalti masih tidak diterima oleh Kerajaan negeri sekarang walaupun sudah hampir setahun memerintah. - Malaysia Today

Penasihat PKR mahu Ansari teruskan tugas

Kota Kinabalu, 23 November - Penasihat PKR, Dato' Seri Anwar Ibrahim meminita Pengerusi Perhubungan PKR Sabah, Ansari Abdullah supaya meneruskan tugasnya sehingga tamat tempoh penggal minggu depan.

Menurut Anwar, tempoh penggal jawatankuasa perhubungan negeri akan tamat pada Kongres Nasional parti itu, Ahad ini, di mana perbincangan perlu sama ada untuk menubuhkan satu jawatankuasa baru atau mengekalkan yang ada sekarang.

"Dalam keadan ini, kita mendapati tidak ada keperluan untuk mempertimbangkan peletakan jawatan.

"Ia perkara biasa, di semua negeri, kita sentiasa melatih pelapis kedua untuk mengambil alih peranan penyelarasan negeri," katanya kepada pemberita di sini pagi semalam.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berada di Sabah untuk menghadiri Konvensyen PKR negeri selama dua hari mulai Jumaat.

Baru-baru ini media melaporkan bahawa Ansari telah meletakkan jawatan dan khabar angin menyatakan beliau meninggalkan parti itu.

Bagaimanapun Ansari menafikan dengan mengatakan bahawa beliau menyerahkan surat peletakan jawatan kepada kepimpinan pusat tetapi belum menerima jawapannya, dan beliau tidak keluar daripada PKR.

[Seruan Keadilan akan cuba mendapat komen dari Ansari berkenaan perkara ini]

Kongres: Sidang media PKR dan sayapnya bermula hari ini

oleh Syukree Hussain

Kuala Lumpur, 23 November - Sidang media berkenaan dengan persiapan dan agenda Kongres Nasional Tahunan PKR akan diadakan bermula hari ini.

Kongres berkenaan akan diadakan pada 28 hingga 30 November di Stadium Malawati di Shah Alam dan jika lebih 10,000 akan hadir.

Bagi sidang media mengenai Kongres Wanita Nasional PKR, Ketua Wanita Zuraida Kamaruddin akan diadakan di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor di Shah Alam hari ini.

Sidang media Kongres Angkatan Muda Keadilan akan diadakan pada Isnin ini di ibu pejabat parti dekat sini oleh Ketuanya Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Manakala, bagi peringkat nasional, Setiausaha Agung partu Saleluddin Hashim akan menemui pihak media pada selasa depan juga bertempat di ibu pejabat.

Kongres AMK dan Wanita akan diadakan pada 28 November dan dirasmikan oleh Timbalan Presiden parti, Dr Syed Husin Ali.

Pada 29 November akan bermula Kongres Nasional PKR, di mana pada sebelah malam Penasihat parti Dato' Seri Anwar Ibrahim akan menyampaikan pidatonya dalam Ceramah Khas sempena kongres tersebut.

Ceramah Anwar: 5 ribu hadir walaupun hujan

[Video - Dato' Seri Anwar di Masjid Rusila]



[Berita akan dimasukkan kemudian]

Sabtu, 22 November 2008

Anwar, Hadi berceramah di Marang malam ini

oleh Syukree Hussain

Marang, 22 November - Penasihat PKR Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Presidan Pas Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang akan menyampai ceramah di Padang Bola Rhu Rendang di sini bermula jam 9 malam.

Turut berceramah ialah Naib Presiden PKR Mustafa Kamil Ayub dan Pesuruhjaya Pas Terengganu Dato' Mustaffa Ali.

Ketua Pakatan Rakyat itu dijangka akan menyampai perkembangan semasa mengenai Pakatan termasuk 'rethreat' dan isu-isu panas yang melanda negeri pimpinan Pakatan Rakyat.

Dijangka lebih 10,000 hadir ke ceramah perdana itu dan pengunjung dinasihati datang awal untuk mengelakkan kesesakan.

Sebelum itu, Anwar akan menyampaikan ucapan perasmian penutup Program Harapan Baru Malaysia peringkat Terengganu dan merasmikan bangunan baru PKR Terengganu di Kuala Terengganu. - Malaysia Today

(Maklumat terkini, Tuan Guru Haji Abdul Hadi tidak dapat bersama-sama dalam Ceramah Perdana malam ini kerana kesibukan tugas lain)

Ketua PR akan bawa formula M'sia Barat ke M'sia Timur

Kota Kinabalu, 22 November - Ketua Pakatan Rakyat (PR) Dato' Seri Anwar Ibrahim yakin dapat menyatukan semua parti utama dalam barisan alternatif di Sabah dan Sarawak untuk meletakkan seorang calon sahaja setiap kawasan pada pilihan raya umum akan datang terutama Pilihan Raya Negeri Sarawak.

Menurut beliau, formula seumpama itu, yang diilhamkan oleh PKR, DAP dan Pas di Semenanjung, ternyata membawa kejayaan yang besar kepada PR dalam pilihan raya umum lalu.

"Di Sabah dan Sarawak, memang ada calon (daripada PR) yang bersaing sesama sendiri yang mengakibatkan perpecahan undi untuk PR.

"Inilah yang kita mahu elakkan," katanya selepas merasmikan pusat khidmat masyarakat untuk kawasan Kota Kinabalu di Jalan Damai, Luyang semalam.

Menjawab soalan, Penasihat PKRitu berkata usaha mempelawa Parti Maju Sabah (SAPP), untuk menyertai PR sedang dibuat dan mengesahkan yang beliau sudah menemui presiden SAPP, Dato' Yong Teck Lee hari ini.

"Apa yang penting, kita mahu wujudkan pakatan alternatif yang kuat di Sabah dan Sarawak seperti yang diperlihatkan oleh PR di semenanjung pada pilihan raya Mac lepas," katanya.

Mengenai persediaan menghadapi pilihan raya kecil parlimen Pensiangan, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata sekiranya pilihan raya kecil itu diadakan, PKR akan tetap meletakkan calon untuk bertanding bagi kerusi itu. - Harakahdaily, Bernama

Jumaat, 21 November 2008

Ketua PR lancar kempen mansuh ISA , disusuli Bilik Sulit untuk program pertama siri kempen

Dungun, 21 November - Ketua Pakatan Rakyat (PR), Dato' Seri Anwar Ibrahim akan melancarkan kempen mansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Ahad ini.

Majlis pelancaran tersebut akan diadakan di Dataran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Pandan Indah bermula jam 9 malam.

Kempen tersebut adalah anjuran Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dan Pas bagi mendesak kerajaan memansuhkan akta tersebut serta membebaskan semua tahanan ISA tanpa syarat atau bicara mereka di mahkamah.

Acara kemuncaknya adalah perhimpunan besar-besaran di ibu negara Mac tahun depan.

Menurut Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh, selain Penasihat itu, pemimpin parti anggota PR yang lain juga akan berucap di majlis tersebut.

Mereka adalah Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Turut dijemput berucap di majlis pelancaran tersebut ialah Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu dan Ketua Dewan Pemuda PAS pusat, Salahuddin Ayub.

Jelas Syed Ibrahim, beliau juga akan turut berucap di majlis tersebut.

Beliau menjangka kira-kira 5,000 akan menghadiri majlis pelancaran tersebut sebagai tanda sokongan mereka terhadap kempen mansuhkan ISA.

Katanya, selepas majlis pelancarannya Ahad ini, GMI akan mengadakan siri program menjelang Mac depan.

Program pertama siri kempen tersebut berupa persembahan teater bertajuk Bilik Sulit arahan pengenali blog Tukar Tiub, Hishamuddin Rais.

Teater tersebut dipentaskan semula dengan versi yang terbaru dengan pelakon berbakat yang makin meningkat sekarang ini.

Kali terakhir Bilik Sulit dipentaskan ialah pada tahun 2005.

Syed Ibrahim berkata tarikh persembahan tersebut ialah pada 10 Disember depan tetapi tempatnya belum diputuskan lagi. - Malaysiakini

Kickdefella disambung jaminan polis kali kedua

Petaling Jaya - Penulis blog Kickdefella, Syed Azidi Syed Abdul Aziz yang ditahan mengikut Akta Hasutan, disambung sebulan lagi jaminan polis terhadapnya hingga penghujung tahun ini.

Beliau sebelum ini membuat cadangan di blognya supaya bendera Malaysia dikibarkan secara terbalik ketika menyambut ulang tahun kemerdekaan negara sebagai tanda protes.

Lanjutan jaminan polis itu adalah yang kedua selepas beliau dibebaskan pada 20 September lalu.

Syed Azidi, dimaklumkan mengenai perkara tersebut ketika hadir di Bahagian Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Aman kira-kira tengah hari tadi.

"Saya hadir hari ini bagi mendapatkan perkembangan mengenai kes saya.

"Bagaimanapun pegawai penyiasat yang menguruskan kes saya sebelum ini telah ditukarkan.

"Jadi tadi pegawai penyiasat DSP Mahfuz Abdul Majid memaklumkan bahawa jaminan terhadap saya disambung sebulan lagi," katanya.

Beliau perlu hadir untuk melapor diri pada 21 Disember depan.

Bagaimanapun, Syed Azidi yang hadir bersama keluarga yakin bahawa tiada kes terhadapnya berikutan perkembangan semasa.

Pada 17 Oktober lalu, beliau hadir di jabatan yang sama namun dimaklumkan bahawa jaminan polis disambung sehingga hari ini.

Syed Azidi ditahan di rumahnya di Demit, Kota Bharu, Kelantan pada 17 September lalu dan ditahan reman empat hari tiga malam di Bukit Aman. - mstar

Ketua PR fail usul minta bahas isu FDI di Dewan Rakyat

oleh Syukree Hussain

Petaling Jaya, 21 November - Ketua Pakatan Rakyat (PR), Dato' Seri Anwar Ibrahim memfailkan usul bagi menangguhkan persidangan Dewan Rakyat untuk membincangkan mengenai laporan terbaru 'United Nations Conference on Trade and Development World Investment Report 2008' mengenai pengaliran keluar pelaburan langsung asing (FDI).

Usul tersebut telah dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin MUlia pada petang Rabu lalu.

"Dalam laporan terbaru tersebut, didapati Malaysia walaupun meningkat kemasukan FDI kepada RM29 billion untuk tahun 2007 berbanding RM21 billion pada tahun 2006.

"Namun pengaliran keluar FDI secara besar-besaran mencecah RM38 billion pada tahun 2007 menyebabkan negara mengalami aliran bersih FDI yang negatif sebanyak RM9 billion.

"Usul tersebut perlu dibahas segera kerana ianya menyentuh kepentingan umum dan negara ini," kata Penasihat PKR dalam kenyataan yang disiarkan melalui laman blognya.

Ujar Ahli Parlimen Permatang Pauh itu lagi, fenomena pengaliran keluar FDI secara besar-besaran ini berlaku sejak 2005.

Justeru, katanya, jika berterusan ia akan mengakibatkan negara terus mengalami penguncupan ekonomi, kemerosotan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), pengangguran dan pengurangan peluang pekerjaan.

Anwar menjelaskan bahawa situasi tersebut akan lebih buruk dalam keadaan negara berhadapan dengan krisis kewangan global.

Bagaimanapun jawapan kepada usul tersebut hanya akan diketahui pada Isnin depan masa ada diterima atau sebaliknya. - Malaysia Today